Jom derma darah 28 Jun ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Orang ramai khususnya para penderma darah adalah dialu-alukan untuk sama-sama menabur bakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan dengan menyertai Kempen Derma Darah Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) yang akan berlangsung di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 28 Jun ini.

Kempen itu akan bermula dari pukul 8 pagi hingga 12:30 tengah hari di mana ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah serta untuk menambah simpanan darah bagi mereka yang memerlukan.

Persatuan tersebut berharap ahli BSBIA, rakan-rakan, warga India dan juga orang ramai di Negara Brunei Darussalam menyahut usaha murni ini.

Penderma darah juga digalakkan untuk mengajak keluarga atau rakan yang lain untuk sama-sama menderma darah dalam menjayakan acara penuh kebajikan itu.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi penyelaras kempen iaitu Yang Di-Pertua BSBIA, Ravi Chandran menerusi talian 8769047 dan Ketua Penyelaras kempen, Suresh Borigam menerusi talian 8776359.