Jom ‘Menyulam Kasih Ramadan’

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Projek Ikhlas 12.0, Menyulam Kasih Ramadan pada 19 April depan di Ibu Pejabat PBSM, Kawasan Letak Kereta, Pejabat Pos Bunut bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Projek berkenaan merupakan usaha persatuan untuk membantu serta meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan khususnya bagi menghulurkan bantuan makanan asasi.

Melalui projek itu, pihak persatuan mengalu-alukan sumbangan dan mengumpul sumbangan sedekah jariah makanan asasi daripada orang ramai di mana mereka boleh membuat atau menghantar sedekah secara pandu lalu (Drive Thru).

Projek dilaksanakan bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan dan sumbangan akan diagih-agihkan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan di negara ini terutama asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf di keempat-empat daerah.

Barangan makanan asasi yang diperlukan ialah beras, gula, minyak masak, tepung, makanan dalam tin, mi segera, biskut dan barangan makanan yang lain yang sesuai.

Dalam hubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyumbangkan bantuan makanan asasi untuk meringankan bebanan dan kesulitan kumpulan asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf yang tidak berkemampuan semasa bulan Ramadan yang Mubarak ini.