Jom sama-sama sertai kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Pusat Pendermaan Darah kini mengalami stok bekalan darah yang rendah dan memerlukan semua jenis darah dengan segera bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit di semua hospital-hospital kerajaan, termasuk Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah ke tabung-tabung darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Belait dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, waktu operasi bagi Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS dan Tabung Darah Hospital SSB adalah dari 8 pagi hingga 2 petang manakala itu, Tabung Darah Hospital PIHM pula dibuka dari 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Sementara itu, Tabung Darah Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong ditutup buat sementara hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Kenyataan menyatakan, orang ramai yang ingin menderma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dinasihatkan untuk menempah awal slot menderma darah menggunakan aplikasi BloodKad. Setiap slot masa adalah terhad kepada lima orang penderma darah sahaja.

Pusat Pendermaan Darah pada masa ini hanya menerima penderma darah secara perjanjian dan tempahan melalui aplikasi BloodKad.

Orang ramai juga dibolehkan untuk menggunakan tempat letak kereta berbayar di Blok 10 Hospital RIPAS secara percuma selama 2 jam. Orang ramai diingatkan untuk membawa tiket letak kereta semasa menderma darah.

Menurut kenyataan itu lagi, berikutan perkembangan mengenai penularan COVID-19, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan adalah diperketatkan di pusat berkenaan dan tabung darah setiap daerah.

Orang ramai diingatkan untuk mengikuti garis panduan Kementerian Kesihatan berkenaan dengan COVID-19 seperti memakai pelitup muka, mensanitasi tangan, mengimbas kod QR BruHealth dan mengamalkan penjarakan sosial setiap masa.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi mengadakan kempen derma darah di Pusat Pendermaan Darah secara perjanjian dan tempahan dalam talian, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745, 6001 dan 6002 atau e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).