Jom sertai kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Memandangkan bekalan stok yang berkurangan pada masa ini, Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, akan mengadakan kempen-kempen derma darah sepanjang minggu ketiga dan keempat Julai ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Pusat Pendermaan Darah memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A dan O, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit Talasemia, pesakit yang mempunyai masalah pendarahan dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Kenyataan menyatakan, kempen akan diadakan pada 25 Julai ini anjuran Pizza Hut di Pizza Hut, Airport Mall bermula 10 pagi hingga 3 petang dan pada 29 Julai anjuran Setia Motors Sdn Bhd di Bilik Pameran Hyundai, Estet Perindustrian Beribi juga dari 10 pagi hingga 3 petang yang dibukakan kepada orang ramai.

Kenyataan menekankan bahawa pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang sihat dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah semasa waktu pejabat. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001 atau e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).