Jom sertai kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah pada 17 dan 19 September ini yang dibukakan kepada orang ramai.

Pada 17 September, ia akan diadakan di kawasan Concourse, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) di mana kempen anjuran PAPRSB IHS itu bakal berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Sementara itu, pada 19 September, kempen akan dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di Dewan Belalong, Daerah Temburong dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah pada masa ini memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001, e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).