Jom sertai Malam Munajat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Dalam usaha bersama membendung penularan wabak COVID–19 di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan lazim dengan mengikuti Malam Munajat pada setiap Sabtu (Malam Ahad) secara maya dari kediaman masing-masing.

Majlis Malam Munajat itu akan diteruskan lagi esok bermula 6:30 petang dan orang ramai yang berhasrat untuk menyertainya bolehlah masuk pautan http://tiny.cc/munajatkhaskheu21 atau mengikuti secara langsung melalui Instagram @pdi_kheu.

Majlis yang diadakan selepas menunaikan sembahyang Fardu Maghrib, Sunat Taubat dan Sunat Hajat di kediaman masing-masing itu adalah untuk mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT, dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda negara.

Majlis juga akan disusuli dengan bacaan Asma’ul Husna dan Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.