Jom sertai yoga dalam talian 21 Jun ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam akan meraikan Hari Yoga Antarabangsa (IDY) ke-6 pada 21 Jun depan dengan aktiviti yoga beramai-ramai.

Bagaimanapun, dalam mematuhi sekatan-sekatan sedia ada terhadap perhimpunan besar dan keperluan penjarakan sosial disebabkan pandemik COVID-19, acara berkenaan akan diadakan menerusi platform maya seperti laman Google Meet, Youtube Live dan Facebook Live suruhanjaya tinggi berkenaan,

Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi India dalam kenyataannya di sini, mengalu-alukan para pengamal yoga di negara ini untuk menyertai IDY 2020 dalam talian di mana-mana platform maya berkenaan. Para peserta juga digalakkan untuk berkongsi gambar penyertaan mereka menerusi e-mel [email protected] atau [email protected]

Kenyataan menyatakan, bagi membuat demonstrasi pergerakan yoga, sekumpulan kecil pengamal yoga telah dijemput untuk menyertai sesi berkenaan di Rumah India.

Sesi yoga berkenaan akan didahului dengan mesej daripada Perdana Menteri India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi, ucapan ringkas oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar dan ceramah mengenai Ayurveda and Immunity oleh Dr Nisha Manikantan menerusi platform maya.

Selain daripada itu, tambah kenyataan, suruhanjaya tinggi berkenaan juga akan menganjurkan beberapa program bersama Persatuan Malayali Brunei dan Persatuan India Belait (IAB).

Persatuan Malayali Brunei akan menganjurkan pertandingan menulis esei bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 18 tahun dan membuat poster bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Manakala itu, IAB pula akan memperingati IDY 2020 pada 28 Jun di Dewan IAB menerusi sesi yoga dalam talian.

Di samping itu, persatuan berkenaan juga akan menganjurkan Kuiz Keluarga Hari Yoga yang bakal diadakan dalam dua pusingan.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa Kementerian AYUSH, Kerajaan India dan Majlis India bagi Hal Ehwal Kebudayaan akan menganjurkan pertandingan blogging video dalam talian dengan tema ‘My Life – My Yoga’.