Jomar juara Olimpik Kemahiran Kebangsaan 2020

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Jomar Arellano dari NBT Toyota Gadong muncul juara dalam Olimpik Kemahiran Kebangsaan 2020 yang diadakan di Pusat Perkhidmatan Lexus, Gadong, kelmarin.

Tempat kedua disandang oleh Angelo Paidinas dari NBT Toyota Gadong, diikuti oleh Sherwin Bautista dari NBT Toyota Kuala Belait di tempat ketiga dan Awang Mohd Najmi bin Joini dari NBT Lexus Gadong di tempat keempat.

Pemenang pertama menerima wang tunai $500, sijil dan trofi manakala itu, pemenang kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai $300 dan $200 berserta sijil.

Hadir menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Urusan NBT, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin.

Pertandingan berkenaan merupakan aktiviti tahunan NBT yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teori dan praktikal mengenai pembaikan diagnosis standard Toyota dan Lexus di samping meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan juruteknik am.

Sepanjang pertandingan, para peserta diberikan pendedahan mengenai bagaimana menyelesaikan dan mencari punca masalah pada kereta mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan menyelesaikan tepat pada masa yang telah ditetapkan.

Haji Ahmad Omar menyampaikan hadiah kepada Jomar Arellano selaku juara.