Jonathan jalani latihan bersendirian di kampus

KUALA LUMPUR, 8 MEI – Pelari pecut negara Jonathan Nyepa memilih untuk terus kekal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan agar beliau dapat meneruskan latihan.

Walaupun kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi pulang ke kampung halaman masing-masing bermula 27 April lepas, atlet berasal dari Sungai Asap, Sarawak itu sanggup mengorbankan masa bersama keluarga untuk terus berlatih bagi mencapai misinya.

Keputusan itu turut menyebabkan Jonathan tidak dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarganya pada 1 dan 2 Jun ini.

Pelajar jurusan Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, yang ‘tersangkut’ di kolej kediamannya sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas, bagaimanapun lega dapat melakukan latihan di luar sekarang. – Bernama