Jordan, lokasi blokbuster filem Hollywood

AMMAN – Pemandangan lunar di lembah Wadi Rum, Jordan menjadi penting setelah dijadikan lokasi untuk penggambaran terakhir filem Star Wars Saga dan bakal dibukakan untuk khalayak ramai serta antarabangsa.

Gurun padang pasir yang hebat, dengan pasir yang berwarna merah berkilauan, bukit-bukit pasir yang menakjubkan dan bongkah batu yang menawan di mana Peter O’Toole pernah melakukan penggambaran dengan menunggang kudanya dalam filem epik Lawrence of Arabia pada tahun 1962.

Dari filem Matt Damon dalam Martian kepada Will Smith dalam filem Aladdin, pihak berkuasa Jordan telah berusaha keras memastikan landskap mereka dimasukkan ke dalam beberapa buah filem blockbuster terbesar Hollywood.

“Apabila anda pergi ke sesebuah lokasi, kesemuanya akan berubah khususnya dalam diri anda,” kata Smith dalam satu sidang media pada awal tahun ini di ibu negara Jordan, Amman.

“Ketika kami mendarat di Jordan, tiba-tiba anda mula merasakan perasaan watak-watak yang bakal dimainkan ketika berada di Wadi Rum, ia memang sesuatu yang luar biasa,” tambahnya kepada media.

Suruhanjaya Filem Diraja Jordan ditubuhkan pada 2003 bagi mempromosikan negara itu sebagai ‘studio terbuka yang terbesar’. – AFP
Pembuat filem datang ke Jordan bagi melakukan penggambaran kerana tertarik dengan landskap yang pelbagai dan menarik khususnya di kawasan padang pasir negara itu. – AFP
Bangunan batu pasir yang terpelihara, Al-Khazneh, yang dikatakan oleh pakar sudah terbina sejak abad pertama SM. – AFP

Suruhanjaya Filem Diraja Jordan ditubuhkan pada 2003 bagi mempromosikan negara itu sebagai ‘studio terbuka yang terbesar’, kata pengarah urusannya, Mohannad Al-Bakri.

Bagi menarik pembuat filem, suruhanjaya – dipengerusikan oleh Putera Ali, salah seorang adik beradik Raja Abdullah II – menawarkan insentif kewangan. Syarikat pengeluaran boleh menikmati rebat tunai antara 10-25 peratus bagi sekurang-kurangnya AS$1 juta yang dibelanjakan di dalam negara, serta pengecualian cukai ke atas peralatan yang diimport bagi penggambaran.

Petra dan bangunan gereja

Tetapi pembuat filem juga datang ke Jordan bagi melakukan penggambaran kerana tertarik dengan landskap pelbagai dan menarik khususnya di kawasan padang pasir negara itu, menurut Bakri. Selama bertahun-tahun, kawasan pa-dang pasir negara ini telah menjadi lokasi penggambaran filem asing, termasuk klasik Hollywood seperti Indiana Jones dan The Last Crusade.

Filem 1989, Steven Spielberg yang dibintangi oleh Harrison Ford telah membawa bandar arkeologi Petra, yang terkenal dengan bangunan-bangunan kuil yang diukir daripada batu, ke skrin pawagam.

Bangunan batu pasir yang terpelihara, Al-Khazneh, yang dikatakan oleh pakar sudah terbina sejak abad pertama sebelum masihi, dipaparkan sebagai pintu masuk ke bangunan kuil, The Holy Grail.

Termasuk dalam beberapa babak dalam filem pembuatan semula, terbitan Disney, Aladdin di Wadi Rum – “Ia menjadi pilihan semula jadi buat kami,” kata Pengarah, Guy Ritchie kepada media di Amman pada bulan Mei lalu.

Naomi Scott, yang memainkan peranan sebagai Jasmine bergandingan dengan Smith, berkata ia merupakan landskap yang cantik. Sebagaimana yang diperkatakan oleh Smith, anda seakan-akan menguatkan lagi watak berikutan suasana persekitaran yang menakjubkan.

Mena Massoud, yang memainkan Aladdin dalam filem fantasi-roman, juga memuji keajaiban Wadi Rum. “Terdapat ketenangan di padang pasir berkenaan, tiada yang sepertinya di dunia ini,” katanya pada sidang akhbar yang sama.

Marikh di Jordan

Wadi Rum berperanan sebagai latar belakang bagi filem yang memenangi anugerah Lawrence of Arabia, arahan David Lean di mana pengkritik mengatakan bahawa ia juga merupakan sebuah filem yang terbaik.

Filem Rogue One: Star Wars Story, juga difilemkan di padang pasir tersebut, yang turut dikenali sebagai Lembah Bulan, sebelum lokasi itu dipilih semula untuk episod terakhir saga, The Rise of Skywalker.

Pengarah Pengurusan Projek Zaman, Syarikat Perkhidmatan Pengeluar di Jordan, Munir Nassar berkata bahawa ia mengambil masa lima bulan untuk membuat persiapan bagi membuat penggambaran Star Wars yang lalu.

“Ketika pelakon datang ke Jordan, penggambaran selesai dalam masa 12 hari dan kemudian mereka pergi meninggalkannya,” kata Nassar, mantan menteri pelancongan.

Syarikatnya juga terlibat dalam penggambaran keempat filem tersebut di Jordan, termasuk Mission to Mars, menyediakan segala-galanya dari sumber makanan, hotel dan juga pengangkutan. “Landskap Jordan yang unik, abadi dan pelbagai, bersama-sama dengan krew pengeluaran yang sangat bermotivasi, menjadikannya destinasi ideal bagi penggambaran,” kata Putera Ali dalam laman sesawang suruhanjaya.

Bakri turut menunjukkan lokasi tambahan Jordan yang sering digunakan oleh pembuat filem.

Pekan indah, Madaba di selatan Amman telah digunakan bagi mempamerkan kampung-kampung Yunani lama sementara rizab semula jadi Azraq di barat daya berperanan mencipta semula kawasan Asia Selatan.

Filem perang Iraq, The Hurt Locker, yang telah memenangi Oscars bagi penggambaran terbaik dan pengarah terbaik tahun 2010 serta thriller, Zero Dark Thirty, yang menceritakan mengenai agen CIA dalam mengesan Osama bin Laden turut difilemkan di Jordan. – AFP