Jordan mara ke pusingan kalah mati

AL-AIN, Emiriah Arab Bersatu, 11 Jan – Jordan menang 2-0 ke atas Syria untuk menjadi pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati dalam saingan Piala Asia, semalam, manakala Chanathip ‘Messi Jay’ Songkrasin memastikan skuad Thailand kembali dalam landasan mereka.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Khalifa bin Zayed, jaringan separuh masa pertama Mousa Mohammad Suleiman dan Tareq Khattab memberikan Jordan enam mata penuh dalam Kumpulan B dengan berbaki satu perlawanan menentang Palestin.

Skuad kendalian Vital Borkelmans yang mengejutkan juara bertahan Australia pada perlawanan pertama mereka, akan mara ke kelompok 16 terakhir bersama pasukan dengan pakej kejutan India, yang akan berdepan tuan rumah, UAE dalam Kumpulan A.

“Kami tahu di mana kami bermula, bermula dari bawah. Kami banyak membuat perubahan,” kata Borkelmans, bekas pembantu jurulatih Belgium yang menyertai Jordan tahun lalu.

“Sebelum ini, tiada orang percaya terhadap pasukan ini, namun kini saya fikir semua media dan rakyat Jordan percaya bahawa ia adalah sebuah pasukan yang bagus,” tambahnya.

Dalam saingan itu, Jordan perlahan-lahan mendominasi perlawanan dan boleh menjaringkan gol awal apabila larian Suleiman membolos pertahanan Syria, namun menyaksikan cubaan Yousef Rawshdeh tersasar. – AFP

Borkelmans mengatakan sesuatu kepada Yaseen Bakkheet (kanan)ketika pertemuan antara Jordan dan Syria di Stadium Khalifa bin Zayed, kelmarin. – AFP