BUENOS AIRES, 12 Jun – Setahun lagi sebelum Piala Dunia, Argentina kini memulakan era baru di bawah Jorge Sampaoli, yang berusaha untuk menterbalikkan kempen suram juara dunia dua kali itu.
Perlawanan pertama kendalian Sampaoli sejak meninggalkan Sevilla telah memberikan sedikit harapan apabila Argentina menewaskan Brazil 1-0 di Melbourne Jumaat lepas.
Namun, perjalanan masih jauh bagi Sampaoli untuk menjadikan pasukan itu pesaing dalam Piala Dunia, seperti sepatutnya berdasarkan bakat-bakat yang ada dalam pasukan itu.
“Ia adalah rangsangan yang besar untuk menewaskan Brazil kerana bagi kami ia adalah derbi, dan satu langkah ke depan, ia pasti membantu,” kata Sampaoli.
Pengendali berusia 57 tahun itu sudah membuktikan dirinya sebagai bos antarabangsa kepada Argentina, dengan sebelum ini pernah menerajui Chile bagi kemenangan Copa Amerika buat kali pertama pada tahun 2015, menewaskan negara asalnya di final menerusi penentuan sepakan penalti.
Namun, dia kini hanya mempunyai empat perlawanan bagi memastikan Argentina dan Pemain Terbaik Dunia lima kali, Lionel Messi, tidak mengalami saat memalukan terlepas pentas terbesar bola sepak di Rusia tahun depan.
Dengan hanya empat pasukan teratas di Amerika Selatan layak secara automatik ke Rusia, Argentina ketika ini berada di tangga kelima, slot bagi tempat playoff menentang pemenang persekutuan Oceania.
Kekalahan 2-0 kepada Bolivia pada bulan Mac terbukti menghilangkan kesabaran Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dengan jurulatih, Edgardo Bauza yang akhirnya dipecat. – AFP