NEVERS, 12 MAC – Matteo Jorgenson membantu Visma-Lease a Bike meraih kemenangan dalam peringkat ketiga perlumbaan Paris-Nice kelmarin, dalam acara ujian masa berpasukan sekitar bandar Nevers.
Keputusan ini menyaksikan pelumba serba boleh Amerika, yang juga juara bertahan, kembali menduduki tempat teratas dalam kedudukan keseluruhan, mendahului rakan sepasukannya, Jonas Vingegaard.
Pada litar sepanjang 28.4km itu, pasukan Belanda menamatkan perlumbaan 15 saat lebih cepat daripada Jayco-AlUla, manakala Red Bull-Bora Hansgrohe ketinggalan 10 saat lagi.
“Saya bangga dengan pasukan,” kata Jorgenson. “Saya rasa kami telah melaksanakan rancangan sebaik mungkin dan saya gembira dengan komitmen semua orang.”
“Saya tidak mengambil mudah mempunyai enam pelumba yang sangat kuat dan komited di sebelah saya. Kami mahu menggunakan dua ‘motor’ kami, Per (Strand Hagenes) dan Edo (Affini).”
“Mereka melakukan pusingan mereka sebelum pendakian curam dan matlamatnya adalah untuk memastikan empat daripada kami berada di atas. Selepas itu, ia tentang melalui selekoh terakhir secepat mungkin hingga ke garisan penamat.”
Jorgenson turut berkata bahawa dia teruja untuk berlumba dengan jersi kuning pemimpin.
“Saya tidak memakainya dalam perlumbaan tahun lepas, saya ambilnya pada hari terakhir,” katanya. “Saya hanya mahu merasakan apa rasanya berlumba dengan Maillot Jaune. Ia ikonik.” – AFP
