JEDDAH, ARAB SAUDI, 22 JUN – Anthony Joshua berjanji untuk kekal dengan pelan permainan yang ringkas apabila dia berusaha untuk merampas kembali gelaran juara dunia heavyweight daripada petinju dari Ukraine, Oleksandr Usyk di Arab Saudi.
Terdahulu, Joshua tewas dengan keputusan bulat suara dalam perlawanan September lalu di London kepada Usyk, petinju yang kembali ke tanah airnya untuk membantu menentang pencerobohan Rusia sebelum diberikan pengecualian istimewa daripada menyertai tugas-tugas ketenteraan.
Pada acara Rage on the Red Sea yang berlangsung pada 20 Ogos ini di Jeddah akan menjadi pertarungan kedua Joshua di Arab Saudi. Joshua, 32, ingin membalas dendam atas kekalahannya kepada Andy Ruiz Jr di Riyadh pada Disember 2019.
Pertarungan tersebut akan menjadi acara terbesar, di mana beberapa dakwaan dikeluarkan mengenai sportswashing.
“Pertarungan menentang Usyk, dia menguasai pertarungan untuk beberapa pusingan, saya perlu menerima kekalahan itu seperti seorang lelaki,” kata Joshua semasa menghadiri sidang media di Jeddah.
“Saya tidak suka menyukarkan keadaan, kerana ia adalah lebih baik dengan kesederhanaan.
“Kadang-kadang, jika awda melakukan dengan kesederhanaan, awda akan mendapat sesuatu yang besar,” katanya.
Kedua-dua petinju tersebut akan bersemuka selepas sesi sidang media, di mana pegawai Arab Saudi mengatakan mengenai komitmen mereka dalam sukan tinju dan ingin meningkatkan pembangunan dalam sukan tersebut.
Sementara itu, Joshua juga telah membuat beberapa perubahan dalam barisan kakitangan kejurulatihannya untuk meningkatkan peluangnya meraih gelaran juara dunia heavyweight buat kali ketiga, dengan menambah Robert Garcia ke dalam pasukannya untuk bekerjasama dengan Angel Fernandez. – AFP