Oleh Ak Zaki Kasharan
Baru-baru ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Kelab Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) sekali lagi tidak ketinggalan, bersama-sama ahli pengakap di seluruh dunia menyertai jambori pengakap yang terbesar peringkat dunia iaitu Jambori di Udara (JOTA) dan Jambori di Internet (JOTI).
JOTA dan JOTI merupakan salah satu kegiatan kepanduan digital di mana kegiatan yang berasaskan pendidikan tersebut juga merupakan acara pengakap terbesar di dunia dengan penyertaan ribuan pengakap merentasi lebih daripada ratusan buah negara yang dikendalikan secara daring dan melalui udara dan Internet.
Ia juga adalah salah satu daripada acara rasmi anjuran Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM).
Kegiatan JOTA dan JOTI dijalankan pada setiap hujung minggu ketiga Oktober setiap tahun sejak 1957 dan keunikan jambori itu adalah setiap ahli pengakap yang menyertainya telah dapat berhubung antara satu sama lain dengan ahli-ahli pengakap di seluruh dunia dengan menggunakan peralatan radio amatur yang berfrekuensi tinggi iaitu High Frequency (HF) dan Very High Frequency (VHF) serta melalui talian sembang di Internet yang dikhaskan untuk kegiatan berkenaan juga berjaya membuat sidang video melalui Skype.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara JOTA dan JOTI 2022 yang dikendalikan oleh Persatuan Pengakap Daerah Tutong dan BDARA yang berlangsung di Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Tutong ialah Pengerusi Kumpulan Pengakap 2030, Haji Yahya bin Haji Abdul Rahman.
Sementara itu hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan, Tutong, Awang Kamil bin Lamat.
Semasa ditemui pihak media, Pengerusi JOTA dan JOTI 2022, Awang Khiril-Annuar bin Haji Yaakob yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Bahagian Radio Amatur dan IT antara lain menjelaskan bahawa seramai 20 peserta telah menyertai acara baru-baru ini yang terdiri daripada Kumpulan Pengakap Tunas Chung Hwa Tutong dan Kumpulan Pengakap Tunas Chung Hwa Kiudang.
“Apabila kegiatan kempen diadakan, pengakap-pengakap muda akan diperkenalkan tentang pentingnya perhubungan radio itu tanpa menggunakan kawat jika berlaku sebarang kecemasan mahupun kecelakaan yang mana perhubungan perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan.
“Sebagai peranan ahli-ahli pengakap yang merupakan sukarelawan, di sini mereka dapat mempelajari dan mengetahui akan kepentingan komunikasi berkenaan melalui kegiatan tahunan tersebut yang dinamakan sebagai JOTA.
“Antara yang akan dapat digarap melalui kegiatan acara ini ialah para peserta akan dapat menambah ilmu mengenai perhubungan di samping berkenalan dengan rakan-rakan stesen-stesen di seluruh negara dan di Borneo,” jelas Awang Khiril-Annuar.
Melalui kegiatan JOTA dan JOTI ini, ia memberi peluang kepada semua ahli pengakap untuk berkenal-kenalan dengan rakan baharu dan bertukar-tukar pandangan serta pengetahuan melalui gelombang radio amatur dan Internet.
Melalui aktiviti seumpama itu, ahli-ahli pengakap lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap yang berada beribu-ribu kilometer dari Brunei Darussalam serta dapat mengetahui betapa peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus teknologi yang serba maju dan canggih.
Bagi mereka yang baru mengenalinya, radio amatur merupakan sebuah hobi yang menggunakan peralatan radio komunikasi bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan penyiasatan teknikal.
Radio amatur merupakan salah satu komunikasi yang cukup penting terutama pada situasi kecemasan apabila komunikasi utama seperti telefon bimbit dan talian rumah terputus.
Apabila menggunakan peralatan dan frekuensi radio amatur, sudah pasti ia memerlukan pengendali yang mempunyai lesen radio amatur.
Oleh yang demikian, pemimpin pengakap digalakkan mempunyai lesen radio amatur bagi mengendalikan aktiviti JOTA dan JOTI ini.
Ada pun sejarah awal JOTA dan JOTI yang mula diperkenalkan pada tahun 1957 tersebut dimulakan oleh seorang ahli pengakap yang juga seorang penggiat radio amatur dari England bernama Leslie R Mitchell dengan isyarat panggilan G3BHK.
Ia bermula dengan usaha Leslie R Mitchell membawa penggunaan radio amatur semasa perkhemahan Jambori Pengakap Dunia ke-9 di Sutton Park, England pada tahun 1957 dengan menggunakan isyarat panggilan GB3SP.
Beliau sungguh terkesan dengan sambutan yang cukup menggalakkan daripada pihak pengakap dan pengendali radio amatur sekitar yang kemudiannya mereka bersetuju untuk berhubung di antara kem jambori pengakap yang diadakan pada bulan Oktober pada tahun yang sama.
Salah seorang guru dari Sekolah Chung Hwa Kiudang, Dayang Nurafiqah binti Kafali semasa ditemui pada acara yang berlangsung di Pusat Belia, Daerah Tutong baru-baru ini turut mengongsikan mengenai penglibatan murid-murid dari Sekolah Chung Hwa Kiudang yang semasa kegiatan tersebut.
“Lima orang ahli Pengakap Tunas telah menyertai kegiatan ini daripada jumlah keseluruhan ahli Pengakap Tunas di sekolah kami iaitu seramai 15 orang yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 5.
“Saya berharap dengan adanya aktiviti seperti ini, para ahli Pengakap Tunas dapat meneroka dan mengambil pengalaman serta mengetahui lebih lanjut tentang isi aktiviti pengakap agar mereka dapat meningkatkan kemahiran diri terutamanya sekali terhadap fungsi radio itu sendiri,” jelas Dayang Nurafiqah.
Pada masa yang sama, guru Sekolah Chung Hwa Kiu dang itu turut menjelaskan penglibatan aktif ahli Pengakap Tunas di sekolah berkenaan dalam aktiviti pengakap seperti dalam menyertai aktiviti Hari Terbuka Pengakap Tunas yang dianjurkan sebelum ini.
Adapun peningkatan jumlah penyertaan ahli Pengakap Tunas di sekolah tersebut adalah bermula dengan pengenalan dan promosi yang dijalankan oleh persatuan pengakap ke sekolah berkenaan untuk memberigakan lagi mengenai kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh persatuan tersebut.