Jovetic dipinjamkan ke Sevilla

MADRID, 11 Jan – Bekas penyerang Manchester City Stevan Jovetic (gambar) menyertai pasukan kelompok teratas La Liga, Sevilla secara pinjaman selama enam bulan dari Inter Milan dan ia disahkan kedua-dua kelab berkenaan, semalam.

Pemain Montenegro itu yang mengharungi dua musim di Liga Perdana Inggeris, tercicir daripada skuad utama di Inter dan terbang ke Sepanyol pagi semalam dengan harapan untuk menghidupkan kembali kariernya.

Perjanjian itu termasuk pilihan buat Sevilla untuk membeli Jovetic sebaik musim berakhir, dengan media Sepanyol melaporkan yuran dikenakan sejumlah 14 juta euro.

“Saya bersetuju untuk datang kerana ia adalah kelab yang besar, mereka bermain dalam Liga Juara-Juara, mempunyai jurulatih yang hebat dan bersaing dalam kelompok teratas La Liga,” kata Jovetic.

Berada di tangga kedua di belakang Real Madrid dalam saingan La Liga, Sevilla yang dikendalikan Jorge Sampaoli akan berdepan Leicester City dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara bulan depan bagi merebut tempat ke suku akhir.

Jovetic, yang menyertai City pada 2015, hanya beraksi selama 67 minit sepanjang musim, sehingga menyebabkan ejennya menuduh pengendali Inter, Stefano Pioli membiarkan pemain-pemain tonggak dalam skuad itu ‘mengatur pasukan.’

Pioli bulan lalu mengakui pemain 27 tahun itu, yang ka riernya bersama City berakhir apabila kelab Inggeris berkenaan menandatangani Wilfried Bony, mungkin tidak akan diturunkan dalam masa terdekat.

“Ketika pertemuan dengannya, dia tidak gembira dengan beberapa keputusan yang dibuat. Saya hanya memilih pemain yang benar-benar bersedia,” kata Pioli. – AFP