JP Ku Ceria Ahad ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC) akan menganjurkan Program JP Ku Ceria yang diadakan setiap Ahad bermula 6 September ini di Taman Permainan Jerudong Park (JP) dalam menyokong program Bandarku Ceria dan aktiviti pelancongan dalam negara yang disediakan oleh pelbagai agensi dan pihak berkepentingan di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan melengkapi cuti penggal persekolahan pada bulan ini bagi JPCC berkongsi nilai-nilainya dengan orang awam untuk meneroka, berkongsi dan bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan.

JPCC merancang untuk memperkenalkan pelbagai tema setiap Ahad pada bulan ini dengan tema bagi program Ahad ini adalah ‘Kedayan’. Kedayan adalah salah satu daripada tujuh puak asli Brunei, jelas kenyataan. Kenyataan menyatakan, dalam menyokong Persatuan Kedayan Melayu Brunei Darussalam (Pemedayan), JPCC menghoskan Dapoo Kedayan di Medan Selera JP di mana pelbagai pilihan makanan kegemaran kedayan akan diketengahkan.

Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan tradisi dan budaya Kedayan kepada orang awam terutamanya generasi muda. Menurut kenyataan, Dapoo Kedayan diadakan bermula hari ini hingga 6 September dengan tarikan utama adalah Nasi Katok Kedayan. Di samping itu, pengunjung ke JP juga akan dapat berinteraksi bersama puak Kedayan Brunei serta menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang atau sekadar berjalan-jalan di taman permainan berkenaan.