Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JP Sabah mahu diberi peranan sebagai majistret kelas kedua

    KOTA KINABALU, 12 April – Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (Majaps) mahu diberi peranan lebih besar dan fungsi sebagai majistret kelas kedua di negeri ini.

    Timbalan presidennya, Datuk Lawrence Thien berkata langkah itu akan membolehkan JP mengurangkan beban mahkamah di negeri ini dengan mendengar kes kecil seperti reman, judi dan kes kesalahan trafik.

    “Kami digalakkan oleh Mahkamah Sabah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum untuk membantu dalam perkara ini disebabkan terdapat kes tertentu seperti kes reman di kawasan terpencil di Sabah yang perlu didengar.

    “Pegawai daerah, yang dilantik sebagai majistret kelas kedua, boleh mendengar kes berkenaan, bagaimanapun mereka sangat sibuk dengan tugas pentadbiran.

    Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjun (duduk, tengah) bersama 13 penerima anugerah Jaksa Pendamai (JP) selepas majlis angkat sumpah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Bernama
    Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjun (duduk, tengah) bersama 13 penerima anugerah Jaksa Pendamai (JP) selepas majlis angkat sumpah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Bernama

    “Jadi, kami berpendapat peranan JP di negeri ini perlu dipertingkatkan dan menimbang sama ada kerajaan negeri boleh melantik JP yang berkelayakan dalam kalangan anggota kami (Majaps) sebagai majistret kelas kedua,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah 13 JP baharu di hadapan Malanjum di sini hari ini.

    Thien berkata cadangan berkaitan perkara itu telah pun dikemukakan kepada kerajaan negeri, yang memerlukan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk memberi nasihat berkaitan prosedur pelantikan.

    “Buat masa ini, tugas kami (JP) hanya terhad kepada pengakusaksian dokumen, misalnya, akuan berkanun, afidavit dan perakuan dokumen,” katanya, dan menambah, khidmat JP adalah percuma. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda