JPA anjur Program Infak Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Program Infak Ramadan JPA hari ini, telah mengadakan penyerahan sumbangan barangan asasi untuk orang-orang yang memerlukan dan golongan asnaf mualaf yang memerlukan di negara ini.
Penyampaian sumbangan itu diadakan di dua tempat berasingan iaitu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jalan Pulaie, Berakas.

Di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, sumbangan telah diserahkan oleh Penolong Pengarah (Audit Tenaga Manusia), Bahagian Penyelidikan dan Perancangan JPA, Hajah Suziyati @Safiyah Al Humaira binti Mohammad Ali selaku wakil ketua pengarah JPA kepada Ketua Bahagian Kemasyarakatan, Sukarelawan Belia, Awang Mohammad Ashmeer.

Pengagihan sumbangan tersebut dikendalikan secara pandu lalu oleh Sukarelawan Belia kepada orang-orang yang memerlukan.

Manakala itu, di Bangunan Darul Huda PDI, sumbangan diserahkan kepada Penolong Pengarah PDI, Haji Abdul Aziz bin Haji Kahar dan akan diagih-agihkan oleh Bahagian Perkembangan Mualaf (Kebajikan Mualaf), PDI dan Persatuan Nurul Islam (PNI) secara pandu lalu melalui Projek Fathul Barakah 1.0.

Sumbangan tersebut akan disalurkan bagi Infak Jariah Keperluan Harian untuk asnaf Mualaf yang memerlukan sempena bulan Ramadan 1441 Hijrah.

Program Infak Ramadan JPA adalah program yang lazimnya dilakukan setiap tahun pada bulan Ramadan sebagai wadah pegawai dan kakitangan JPA dalam sama-sama membantu dan meringankan beban bagi mereka yang memerlukan di samping menggalakkan amalan bersedekah semata-mata demi meraih keberkatan dari Allah.

Hajah Suziyati @Safiyah Al Humaira menyerahkan sumbangan kepada Awang Mohammad Ashmeer.