JPA nadi utama perkhidmatan awam

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 17 JUN – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini telah mengadakan jerayawara di Daerah Tutong yang di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. 

Turut hadir Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) JPM, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit serta Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Penyelia Pejabat, JPA, Awang Mohammad Iqubal bin Awang Yusuf dan seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Pengarah JPA, Dr Norfarizal bin Othman dan ucaptama yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

Dalam ucaptama Yang Berhormat Dato semasa majlis berkenaan antara lain memperingatkan para penjawat awam sebagai nadi utama dalam perkhidmatan awam supaya bersiap siaga untuk menghadapi apa saja cabaran-cabaran dunia yang kompleks.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menyampaikan ucaptama pada majlis tersebut.
Suasana jerayawara yang berlangsung di Daerah Tutong berkenaan.

“Perkhidmatan awam adalah pemacu utama kepada pertumbuhan dan pembangunan negara, oleh yang demikian setiap penjawat awam perlulah sentiasa berfikiran progresif dan kreatif ke arah penambahbaikan kualiti perkhidmatan.

“Tanggungjawab ini tidak hanya digalas oleh JPA sebagai agensi fokal sahaja malah tanggungjawab bersama setiap agensi kerajaan melalui pendekatan Whole of Government bersama pihak-pihak berkepentingan ke arah sama-sama mencapai hasrat Wawasan 2035”, tekan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

Jerayawara berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan JPA untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan lagi peranan JPA kepada warga perkhidmatan awam di Daerah Tutong. 

Selain itu, jerayawara itu juga dijadikan sebagai satu platform dalam mengongsikan pelan strategik jabatan yang baharu iaitu Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2021-2025 yang mula digunapakai pada tahun ini.

Sesi dialog turut diadakan dengan warga perkhidmatan awam yang hadir bagi memberikan peluang untuk menyuarakan pendapat, cadangan serta masalah yang mereka hadapi.

Beberapa sesi taklimat juga disampaikan mengenai hal ehwal tatatertib, hal ehwal cuti, hal ehwal pemindahan, kaunseling serta mengenai sistem sumber manusia yang baru dilancarkan pada bulan Mei yang lalu. 

Hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JPA, Hajah Noor Airah binti Haji Abdul Rahman serta para pegawai dan kakitangan JPA di Daerah Tutong. 

Agensi-agensi yang terlibat pada jerayawara berkenaan ialah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Bahagian Kesihatan (Tutong), Jabatan Ukur, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi ‘E’), Jabatan Penjara, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penerangan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Bahagian Sukatan dan Timbangan, Jabatan Pos serta Jabatan Perancang Bandar dan Desa. 

Selain itu, beberapa produk tempatan melalui program 1 Kampung 1 Produk (1K1P) juga ikut serta dalam pameran jerayawara tersebut.

Jerayawara ini merupakan jerayawara ketiga dalam siri jerayawara JPA yang telah diadakan pada tahun ini. Siri jerayawara ini akan diteruskan lagi dengan satu sesi di Daerah Brunei dan Muara sekali gus menyambut Jubli Emas Penubuhan JPA pada 1 Julai 2021 depan.