JPB anjur kempen derma darah

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mengadakan kempen menderma darah yang diadakan di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Kempen derma darah tersebut berlangsung selama dua hari, bermula hari ini di mana pada hari pertama, lebih 40 orang penderma daripada kalangan anggota JBP menghadiri kempen tersebut yang diadakan untuk membantu meningkatkan stok darah di Pusat Pendermaan Darah.

Antara kepentingan menderma darah, selain merupakan amalan terpuji dan mulia di sisi agama Islam, satu pain pendermaan darah boleh menyelamatkan tiga nyawa khususnya bagi yang memerlukan seperti pesakit yang menjalani pembedahan, anak damit yang lahir pramatang, mangsa kemalangan, pesakit-pesakit yang menghidap penyakit darah dan lain-lain lagi.

Penyelia Simpanan Darah, Haji Matusop bin Haji Daud ketika ditemui Media Permata menyentuh beberapa perkara tentang kempen berkenaan yang diadakan semasa krisis COVID-19.

Beliau berkata, kempen itu masih selamat untuk diadakan dan orang ramai juga selamat untuk menderma asalkan semua mengikuti syarat-syarat yang ditentu oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Makmal bagi memastikan para penderma selamat menderma darah semasa krisis pandemik COVID-19.

Lebih 40 dalam kalangan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyahut seruan membantu meningkatkan stok darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dalam kempen derma darah yang diadakan di Dewan Serba guna Ibu Pejabat JBP, kelmarin.
ATAS & BAWAH: Antara yang menyertai kempen derma darah di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

Penyelia Simpanan Darah Kementerian Kesihatan, Haji Matusop ketika ditemu bual oleh media.

“Antara syarat-syarat tambahan yang diterapkan semasa kempen menderma darah ialah pemeriksaan suhu badan, memastikan penderma tidak mengalami sebarang penyakit tidak berjangkit selain itu, pihak penganjur akan menyediakan cecair pembasmi kuman dan lain-lain sebelum memasuki ruang menderma darah,” jelasnya.

Beliau juga berkata, pihak penganjur harus menerapkan penjarakkan sosial semasa kempen berlangsung, bagi menyahut inisiatif Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Semasa kempen, pihak hospital juga menasihatkan pendermaan tidak dibenarkan diadakan sekali gus dalam satu masa dan dihadkan untuk beberapa orang dalam satu masa.

Dalam kesempatan itu, beliau juga menyeru kepada orang ramai yang ingin menderma darah untuk membuat tempahan dengan menghubungi talian 2242424 sambungan 6001.

Beliau juga menekankan bahawa kakitangan di Pusat Pendermaa Darah juga menerapkan langkah-langkah keselamatan semasa menjalankan kempen menderma darah seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan pakai buang dan baju PPE. Ini adalah sebagai langkah-langkah keselamatan kakitangan di pusat berkenaan semasa menjalan tugas kempen menderma darah.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBP, Awang Abdul Hadi Zulfadhli bin Haji Yahya pula berkata, dengan adanya kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Kementerian Kesihatan, jabatan berkenaan menganjurkan kempen menderma darah untuk mencapai hasrat Kementerian Kesihatan bagi memenuhi stok Pusat Pendermaan Darah bagi mereka yang memerlukan.

Menurutnya, JBP telah mengaturkan langkah-langkah keselamatan dengan mengadakan penjarakkan sosial kepada setiap penderma dan juga langkah-langkah keselamatan yang lain seperti saringan kesihatan, pemeriksaan suhu badan, memakai cecair pembasmi kuman dan sebagainya.