JPBD lancar perkhidmatan pembayaran dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan telah melancarkan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian untuk beberapa perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

Majlis pelancaran tersebut merupakan antara aktiviti sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini dengan tema Optimising ICT for Planning in a New Paradigm.

Menurut kenyataan JPBD, tujuan utama perkhidmatan pembayaran dalam talian berkenaan diperkenalkan adalah untuk memudahkan pihak berkenaan khususnya syarikat-syarikat guaman, juruukur tanah berlesen dan orang ramai untuk membuat pembayaran tanpa perlu datang berurusan secara fizikal ke kaunter jabatan.

Dengan kemudahan ini, tambah kenyataan, jabatan berharap ia akan dapat menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan kepada orang ramai terutama sekali dalam sektor industri pembinaan.

Perkhidmatan pembayaran dalam talian itu merupakan projek usaha sama dengan Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan menggunakan platform One Common Billing System (OCBS).

Di samping itu, JPBD turut bekerjasama dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri untuk membuat pembayaran dalam talian menggunakan kaedah alternatif seperti BIBD NextGen Wallet dan Baiduri Mobile App.

Pembayaran dalam talian akan dibukakan bagi perkhidmatan Permohonan Penyatuan atau Pemecahan Tanah dan Strata, Permohonan Maklumat Perancangan dan Kemajuan (iPK).

Selain itu untuk pembelian buku Garis Panduan dan Pelan-pelan Perancangan melalui sistem TCPeStorebn dan Pembayaran Denda Kompaun di bawah Bab 58, TCPO 2015.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tatacara pembayaran atau maklumat lain, bolehlah menghubungi hotline JPBD di talian 8200222 atau melalui e-mel tcp.aduan@tcp.gov.bn.