Friday, December 1, 2023
24.2 C
Brunei

    -

    JPBD rai ulang tahun ke-50

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan, yang berasal daripada salah sebuah bahagian di Jabatan Kemajuan pada 1967 sehingga dinaik taraf menjadi sebuah jabatan pada 1972, meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada 1 Januari 2022.

    Sehubungan itu, bagi memperingati hari bersejarah itu, JPBD telah melancarkan Sambutan Jubli Emas yang diselajurkan dengan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2022 di Dewan Mesyuwarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas hari ini.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat.

    Dalam ucapan pelancarannya, Yang Berhormat Dato berkata, sambutan jubli emas yang membawa tema ‘Menelusuri 50 Tahun Perancangan Bandar dan Desa: Pencapaian, Cabaran dan Masa Hadapan’ itu termasuk mengungkayahkan beberapa aktiviti sambutan yang antaranya bertujuan untuk mengongsikan peranan serta pencapaian jabatan dalam menghala tuju perancangan guna tanah dan pengawalan kemajuan fizikal di negara ini.

    Beliau berkata, bekalan tanah yang terhad merupakan antara cabaran semasa dalam memastikan perancangan kemajuan bandar dan desa dan pada masa hadapan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyampaikan hadiah kepada pemenang saguhati pertandingan lukisan My Ideal City.
    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    Usaha itu memerlukan keseimbangan dengan keperluan pemeliharaan atau pemuliharaan terutama kawasan hijau, kawasan sensitif alam sekitar mahu pun kawasan-kawasan tadahan sumber air dan sebagainya bagi menjana keseimbangan ekosistem alam sekitar dan kemajuan mapan dan berdaya tahan.

    Dalam masa yang sama, tambah beliau, negara juga perlu menangani fenomena global perubahan iklim, di mana kesannya dapat dirasai pada masa ini.

    Yang Berhormat Dato juga difahamkan beberapa pelan perancangan guna tanah akan mansuh pada 2025, di mana melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 nanti, pihak JPBD akan mengungkayahkan beberapa projek kajian semula.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Dr Marsita binti Omar dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, sepanjang tempoh 50 tahun penubuhannya beberapa pencapaian dan cabaran kemajuan dapat diimbas kembali.

    Beliau berkata, walaupun cabaran kemajuan pada masa ini adalah sangat berbeza jika dibandingkan 50 tahun yang lalu, namun tujuan dan nilai murni perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan masih dapat diteruskan khusus dalam sama-sama mewujudkan satu persekitaran kemajuan yang teratur dan selamat, yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan manusia yang progresif secara menyeluruh.

    Majlis turut menyaksikan tayangan video sambutan jubli emas JPBD diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan logo dan lukisan My Ideal City.

    Awang Mohammad Nor Adha Shah bin Sarugi terpilih sebagai juara bagi pertandingan mencipta logo sempena sambutan berkenaan dan Chloe Raphaele Ramesh dari Sekolah St Andrew terpilih sebagai juara bagi pertandingan melukis My Ideal City.

    Hadiah-hadiah itu disampaikan oleh Yang Berhormat Dato yang seterusnya dibawa melawat pameran anjuran JPBD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Reaktor gabungan nuklear eksperimen Jepun dirasmikan

    TOKYO, 1 DIS - Reaktor gabungan nuklear eksperimen terbesar di dunia yang sedang beroperasi dirasmikan di Jepun hari ini, sebuah teknologi pada peringkat awal...