Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sebanyak 50 pohon pokok telah ditanam bersempena 50 tahun penubuhan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) pada acara Walkability Retreat di Kompleks Bangunan Kerajaan, Berakas, hari ini.
Penanaman pokok berkenaan adalah kolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sebagai usaha jabatan untuk mendokong Protokol Hijau dalam Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Terdahulu sebelum acara penanaman pokok, sesi senamrobik telah diketuai oleh pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), dan seterusnya diikuti dengan acara walkaton sejauh 2 kilometer.
Walkaton yang bermula dan berakhir di ruang legar Bangunan JPBD memfokuskan kepada laluan di sepanjang jalan di kawasan Kompleks Bangunan Kerajaan, Berakas.
Walkability Retreat bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan persekitaran kemajuan yang kondusif dan selamat bagi menjana kehidupan sihat melalui riadah berjalan kaki.
Ia adalah antara aspek utama yang diberi keutamaan dalam Pedestrian Masterplan yang sedang dalam penyediaan pihak JPBD dengan kolaborasi Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pada acara itu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan tetamu yang lain juga berpeluang menyaksikan pameran mini PPP Corner – Pedestrian Masterplan dan Green Initiatives, selain berpeluang untuk memberikan maklum balas kepada cadangan yang terkandung dalam pelan induk berkenaan.
Di samping itu, acara turut dimeriahkan dengan Bazar Amal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan letak kereta komplek kerajaan.
Acara berkenaan juga diadakan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Jubli Emas JPBD, yang diselajurkan dengan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia bagi 2022.
Turut serta pada acara itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan ahli-ahli Majlis Perancangan Guna Tanah Kebangsaan, warga kerja kementerian dan orang awam.