JPBN atur strategi tangani Rabies

KUCHING, 11 Jan – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan menganjurkan Bengekl Anti-Rabies bermula 16 Jan di seluruh negeri itu kecuali di Limbang, kata​​​​​​Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah.

Katanya melalui bengkel itu, JBPN dan agensi lain yang bertanggungjawab akan meneliti semula strategi sedia ada dalam menangani wabak Rabies di samping merancang strategi baru.

Setakat ini, sebanyak 15 kematian yang melibatkan gigitan anjing gila telah dicatatkan, sejak wabak itu mulai dikesan pada Jul 2017 lepas.

“Perjuangan menentang ancaman wabak Rabies ini sangat mencabar dimana saiz dan sempadan antara negeri Sarawak dan Kalimantan,Indonesia adalah luas.

“Di samping itu, terdapat juga masalah di mana anjing peliharaan yang tersesat jauh sehingga masuk ke dalam kawasan ladang di pendalaman dan yang berdekatan dengan sempadan,” katanya yang juga merupakan Pengerusi JBPN dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, sehingga kini daripada 225,000 ekor anjing yang ada di Sarawak, sejumlah 109,216 ekor telah pun diberikan vaksinasi.

“Tahun ini JPBN menyasarkan untuk mevaksinasikan sekurang-kurangnya 70 peratus populasi anjing yang sedia ada di samping meneruskan lagi Program Vaksinasi Rabies sehingga negeri ini diisytiharkan bebas Rabies.

“Mengenai ujian yang dijalankan ke atas anjing, daripada 928 sampel yang diuji, 323 didapati positif Rabies dan kira-kira 14,000 anjing liar telah pun dihapuskan,” katanya.​​​​​​​

Selain itu, beliau turut menggesa semua pemilik haiwan pelihara mendapatkan semula vaksinasi bagi anjing pelihara mereka setelah setahun dari tarikh terakhir mendapatkan vaksinasi tersebut. – Bernama