JPD: 11,462 permohonan backlog berjaya diselesaikan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sebanyak 23,825 permohonan memperbaharui lesen memandu dan sebanyak 11,513 permohonan memperbaharui lesen kenderaan telah diterima menerusi Talian Darussalam 123 (TD123) sejak penutupan kaunter-kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), mulai 8 Ogos lalu.

Hasil daripada peningkatan kapasiti call agent TD123 secara berperingkat, kesemua permohonan yang belum selesai sebelum ini (backlog) iaitu sebanyak 11,462 telah pun selesai ditutup pada 29 Oktober lalu.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Pengarah JPD, Haji Rozaly bin Haji Saidon dalam siding media di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.

Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 5,297 permohonan telah direkodkan dalam talian melalui

TransportBN atau www.gov.bn yang gagal membuat pembayaran dalam talian dan menyebabkan permohonan tidak dapat diproses (backlog).

Pengarah JPD semasa sidang media pada Sabtu lalu. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

Bagi pemohon yang tidak berjaya membuat pembayaran dalam talian bolehlah mencuba semula tanpa perlu membuat permohonan baharu dengan melalui proses seperti melalui portal rasmi e-darussalam (www.gov.bn) dengan menekan pautan Application Status Enquiry for Land Transport Department’s e-services dan melalui aplikasi TransportBN dengan menekan My Application.

Sementara itu, merujuk siaran akhbar 7 Oktober lalu, beliau juga memaklumkan bahawa bermula 8 Oktober, JPD tidak lagi mengeluarkan lesen kenderaan atau lesen memandu berbentuk fizikal dan ia telah digantikan dengan pesanan ringkas atau SMS yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan melalui talian 39999.

Bagi pemohon-pemohon yang tidak menerima SMS dalam tempoh tiga hari setelah permohonan dihadapkan bolehlah memaklumkan JPD dengan mengisikan borang di pautan www.jpd.gov.bn/smscheck.

Beliau turut memaklumkan bahawa bahawa kerja-kerja penaiktarafan dan penambahbaikan aplikasi TransportBN telah selesai dilaksanakan pada pukul 10 pagi, 5 November lalu.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengemas kini dan menggunakan versi terkini aplikasi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa bermula esok (8 November), JPD akan membukakan semula permohonan tanda-tanda pengenalan (bilangan dan nombor pendaftaran) kenderaan melalui perkhidmatan NomborKu menggunakan kaedah pandu lalu dan tempahan menggunakan aplikasi Que-Up.

Sebagai permulaan, pembukaan semula permohonan nombor pendaftaran ken-deraan NomborKu akan di-laksanakan melalui pandu lalu yang sedia ada di Ibu Pejabat JPD, Beribi, Gadong ketika ini terlebih dahulu.

Tertakluk kepada perkembangan pandemik COVID-19 di negara ini dari semasa ke semasa dan langkah-langkah de-escalation, ia akan dilaratkan ke Daerah Tutong dan Belait kemudian.