JPD buka semula beberapa perkhidmatan mulai 20 Okt

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Dengan mengambil kira pelan kelangsungan perniagaan (BCP), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan membukakan semula beberapa perkhidmatannya, yang ditangguhkan sementara semasa bermulanya pandemik COVID-19, di Ibu Pejabat JPD, Beribi mulai 20 Oktober ini.

Perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan akan dibukakan kepada orang ramai secara berperingkat melalui kaedah pandu lalu dan tempahan melalui aplikasi QueUp bagi menghantar permohonan sahaja.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JPD memaklumkan bahawa antara yang akan dibukakan semula adalah perkhidmatan gantong, penahanan bilangan pendaftaran kenderaan (holding), serah bilangan pendaftaran kenderaan dan kondem; perkhidmatan tukar milik, pinjaman (loan) dan menamatkan pinjaman kenderaan (cease loan); tiada pengguna (non-used); tawaran tertutup tanda pengenalan (bilangan pendaftaran) kenderaan; pelesenan kenderaan komersial dan pengangkutan awam dan permit kenderaan lintas batas; dan kenderaan kerajaan (BG).

Buat masa ini, permohonan-permohonan yang telah siap diproses kemudiannya akan dikembalikan kepada pemohon melalui perkhidmatan Pos Laju sahaja.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan bagi cawangan-cawangan JPD yang lain akan dimaklumkan kemudian.

JPD menekankan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan drop secara pandu lalu itu hanya akan diberikan kepada pemohon yang menempah melalui aplikasi QueUp sahaja.

Perkhidmatan yang dibukakan semula juga adalah terhad kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang disenaraikan sahaja dan sebarang urusan secara walk-in atau permohonan lain selain yang telah disenaraikan adalah tidak diterima pada masa ini.

Waktu perkhidmatan bagi perkhidmatan drop secara pandu lalu itu adalah setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula 8:15 pagi hingga 1 petang ke-cuali pada hari-hari cuti awam.

Seterusnya, JPD menyarankan agar para pemohon yang mempunyai slot tempahan hendaklah mengisikan borang permohonan dengan lengkap dan turut menyertakan bersama dokumen-dokumen sokongan yang dikehendaki.

Pembayaran bagi perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan juga hendaklah dibuat melalui BIBD Online Payment sebelum permohonan dihadapkan.

JPD juga memohon kerjasama pemohon atau pemandu pandu lalu untuk bekerjasama dalam mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh kakitangan yang bertugas serta mematuhi SOP bagi perkhidmatan pandu lalu itu iaitu memastikan kod BruHealth berwarna hijau sahaja, memakai pelitup muka, hanya pemandu dan seorang penumpang saja berada dalam kenderaan ketika hendak menghantar borang serta tidak dibenarkan keluar dari kenderaan semasa penghantaran.

Video mengenai tatacara perkhidmatan drop melalui kaedah pandu lalu dan tempahan melalui aplikasi Que-Up itu boleh diakses oleh orang ramai menerusi pautan www.jpd.gov.bn/pandulalu.

Dalam kenyataan itu, JPD juga memaklumkan kepada orang ramai bahawa Tawaran Tertutup Tanda Pengenalan (Bilangan Pendaftaran) Kenderaan Khas akan dibukakan pada 20 Oktober dan tutup pada 23 November depan.

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti tawaran tertutup tersebut hendaklah mengisikan dengan lengkap borang yang disediakan serta mematuhi syarat-syarat tawaran dan kemudiannya dihadapkan dalam sampul surat yang tertutup melalui perkhidmatan drop secara pandu lalu dengan tempahan melalui aplikasi QueUp.

JPD memaklumkan, syarat-syarat tawaran, tatacara menghadapkan permohonan dan membuat pembayaran serta senarai bilangan pendaftaran yang ditawarkan boleh didapati dari www.jpd.gov.bn/Nomborkhas.

Keputusan tawaran akan dimaklumkan kemudiannya kepada pemohon melalui pesanan ringkas (SMS) dan senarai yang berjaya akan dimuatkan di dalam instagram @jpdbrunei.

Untuk keterangan lanjut mengenai tatacara perkhidmatan pandu lalu berkenaan, borang-borang permohonan, senarai semak dokumen sokongan serta perkhidmatan-perkhidmatan JPD yang lain, orang ramai bolehlah memuat turun Frequently Asked Questions (FAQ) dengan melayari www.jpd.gov.bn/faqs, Instagram @jpdbrunei, e-mel kepada [email protected] atau talian tambahan 2451980/82/84.