JPD catat 151 pesalah setakat Jun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Sebanyak 151 pesalah hasil rondaan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan 175 aduan orang awam dan menerusi Talian Darussalam telah dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Manakala itu, bagi 2019, sebanyak 190 pesalah telah dicatatkan sepanjang tahun berkenaan tetapi bagi tempoh setengah tahun 2019 ialah sebanyak 97 pesalah dan bagi aduan orang awam dan Talian Darussalam sepanjang 2019 ialah sebanyak 400 aduan.

Di samping itu, daripada aktiviti penguatkuasaan JPD yang telah dijalankan, antara jenis-jenis kesalahan yang didapati sering dilakukan adalah membawa muatan berlebihan ialah sebanyak 112 kesalahan, tayar botak ialah sebanyak 72 kesalahan, 24 orang pemandu didapati menggunakan telefon semasa memandu serta tidak menggunakan tali pinggang keselamatan ialah sebanyak 11 kesalahan.

“Dari segi jumlah pesalah-pesalah yang direkodkan oleh JPD pada sepanjang tahun 2019 adalah 190 pesalah manakala sepanjang setengah tahun 2020, jumlah pesalah yang direkodkan oleh JPD mencecah 151 pesalah.”

Statistik pesalah dan kesalahan yang direkodkan oleh JPD dikongsi oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon semasa Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Rebiu Pertengahan Tahun Statistik Kemalangan dan Kesalahan Jalan Raya yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

Jelasnya, JPD dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

Beliau memperingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang jalan raya yang berjalan di Negara Brunei Darussalam serta memandu dengan berhemah bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya di negara ini.

Sementara itu, menyentuh isu kenderaan terbakar yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, beliau menyatakan bahawa JPD menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan mengenai kenderaan-kenderaan mereka.

Antara nasihat berkenaan ialah untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian kenderaan sama ada dari segi reka bentuk dan sistem dalamannya daripada yang asal, tidak mengubah suai sistem pendawaian elektronik atau enjin kenderaan dengan tidak teratur atau mendapatkan perkhidmatan mekanik yang khusus dan berkelayakan, mengadakan pemeliharaan kenderaan terutama sekali pemeliharaan enjin dan sistem dalaman kenderaan mengikut jadual dan tatacara yang teratur, mendapatkan khidmat pemeliharaan dan pemeriksaan kenderaan oleh bengkel-bengkel yang diiktiraf oleh JPD.

Selain itu tidak membiarkan enjin kenderaan hidup terlalu lama lebih-lebih lagi di bawah panas matahari, berhati-hati dan berwaspada mengenai penggunaan alat ganti kenderaan serta tidak meninggalkan benda atau barang seperti power bank, telefon bimbit atau barang yang mudah terbakar atau meletup seperti botol-botol minyak dan gas dalam kenderaan yang terdedah kepada panas matahari.

Manakala itu, khusus bagi pemilik-pemilik bengkel kenderaan, pihak JPD mengingatkan supaya sentiasa memberikan khidmat pemeliharaan dan penyelenggaraan kenderaan dengan teratur dan mengutamakan tahap keselamatan dengan memastikan pekerja-pekerja seperti mekanik yang bertauliah, cekap dalam kerja-kerja mereka, mengikuti piawaian dan prosedur yang baik dan teratur, mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan orang ramai melalui khidmat pemeliharaan dan penyelenggaraan kenderaan yang bermutu tinggi dan teratur serta tidak menggunakan alat-alat ganti yang berkualiti rendah atau tidak sesuai dengan model kenderaan.

Haji Rozaly juga menyatakan bahawa pihak JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak PPDB akan terus memantau kes-kes kejadian kebakaran kenderaan di negara ini serta usaha-usaha akan dibuat untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan rambang ke syarikat-syarikat berkenaan dan premis bengkel dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan bertujuan memastikan peraturan dan piawaian dipatuhi.