JPD perjelas isu pelekat pas kenderaan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebagai salah satu langkah pengawalan kenderaan-kenderaan pendaftaran asing yang berada di negara ini semasa pandemik COVID-19, penggunaan Pelekat Pas Kenderaan telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2020.

Ia merupakan salah satu usaha berterusan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) bagi mengenal pasti kenderaan-kenderaan berpendaftaran asing.

Kenderaan-kenderaan pendaftaran asing bagi persendirian yang telah mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk menetap di negara ini kerana bertugas atau bagi tujuan seumpamanya diberikan pelekat pas kenderaan berwarna biru.

Manakala itu, pelekat pas kenderaan berwarna merah diperuntukkan untuk kenderaan-kenderaan pendaftaran asing jenis komersial yang memasuki Negara Brunei Darussalam bagi tujuan pengangkutan barangan-barangan pertanian, agrimakanan dan perikanan dengan kebenaran daripada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan media, hari ini, merujuk kepada beberapa pertanyaan melalui laman media sosial mengenai kenderaan-kenderaan berdaftar di luar negara yang masuk ke Negara Brunei Darussalam semasa penularan wabak jangkitan

Gambar fail menunjukkan pegawai penguat kuasa memeriksa sebuah kenderaan pendaftaran asing.

COVID-19 dan penguatkuasaan pelekat pas kenderaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan warga asing yang membawa kenderaan berdaftar di luar negara (pendaftaran asing) masuk ke negara ini melalui pos-pos kawalan.

Kenyataan menyatakan, setakat 14 Ogos lalu, sebanyak 2,394 permohonan telah diterima oleh pihak JPD iaitu sebanyak 2,277 permohonan bagi pelekat pas biru dan 117 permohonan bagi pelekat pas berwarna merah.

Sementara itu, permohonan pelekat pas yang dibenarkan oleh pihak jabatan pula berjumlah 2,310 iaitu sebanyak 2,209 bagi pelekat pas biru dan 101 permohonan pelekat pas merah.

Dalam perkara ini, tambah kenyataan, JPD telah memastikan mana-mana kenderaan berpendaftaran asing milik persendirian hanya akan mendapatkan pelekat tersebut jika mempunyai kebenaran daripada JKED yang masih sah.

Pelekat pas kenderaan berkenaan mempunyai tempoh sah laku selama tiga bulan dan hendaklah diperbaharui bagi membolehkan kenderaan berpendaftaran asing berkenaan membuat perjalanan di negara ini.

Kegagalan mematuhi peraturan-peraturan penggunaan Pelekat Pas Kenderaan akan diambil tindakan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan turut menyatakan bahawa hasil penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak JPD, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), sebanyak 39 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan berkaitan dengan pemasangan Pelekat Pas Kenderaan.

Menurut kenyataan itu lagi, kenderaan-kenderaan pendaftaran asing yang dibenarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk memasuki tanah air bagi tujuan transit tidak dikehendaki untuk mempunyai Pelekat Pas Kenderaan.

Namun kenderaan-kenderaan tersebut dikehendaki untuk memaparkan lembar perjalanan (routing sheet) untuk menunjukkan laluan yang diberikan kebenaran khususnya pos-pos kawalan tertentu dan para pemandu kenderaan hendaklah sentiasa mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan transit yang berkuat kuasa pada masa ini.

Dalam pada itu, berkaitan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan warga asing ke negara ini, merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPM pada 3 September 2020 mengenai pengemaskinian tatacara permohonan mendapatkan kebenaran khas kemasukan warga asing ke Negara Brunei Darussalam, di mana kesemua warga asing yang memasuki negara ini bagi tujuan mustahak (essential) sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) ataupun melalui pos-pos kawalan darat dan laut adalah dimestikan untuk mematuhi peraturan-peraturan dan SOP yang sedia ada.

Antaranya pemohon mestilah mendapatkan kebenaran khas Entry Travel Pass (ETP) bagi kemasukan ke negara ini dan mempunyai keputusan ujian swab COVID-19 (RT-PCR) yang negatif dan ujian tersebut hendaklah dijalani dalam tempoh 72 jam sebelum bertolak ke negara ini.

Sementara itu, mereka juga dikehendaki untuk menjalani ujian swab COVID-19 (RT-PCR) kedua dan pengasingan diri mandatori apabila tiba di negara negara ini berdasarkan garis panduan dan juga penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan semasa ketibaan.