JPD terima lebih 38,000 permohonan sejak Ogos

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan MTIC

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Sejak awal Ogos hingga 19 September 2021, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah merekodkan sebanyak 38,467 permohonan pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu melalui talian portal GOV.BN, TransportBN.

Selain itu, JPD turut mengongsikan lebih 1,000 permohonan diterima setiap hari melalui portal tersebut dan 24,872 pesanan ringkas telah berjaya dihantar kepada pemohon dan terdapat 4,718 permohonan yang masih tertunggak dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon, semasa sidang media mengenai Pengemaskinian Perkhidmatan-perkhidmatan di bawah Kementerian semasa Musim Pandemik COVID-19 yang berlangsung di Tingkat 3, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) juga menyatakan bahawa pada 19 September lalu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah menerima sebanyak 1,353 permohonan bagi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu di mana 1,217 pesanan ringkas berjaya dihantar dan 717 pemohon telah memilih perkhidmatan penghantaran pos laju manakala 445 pemohon lagi memilih pengambilan di cawangan pejabat-pejabat pos dan selebihnya adalah pengambilan secara berangkum.

Semasa sidang media itu juga turut mengongsikan sejumlah 136 pesanan ringkas tidak berjaya dihantar yang mana 87 permohonan tidak menyatakan nombor telefon bimbit, 44 permohonan memberikan hanya telefon rumah dan lima permohonan mempunyai nombor telefon bimbit yang salah.

Haji Rozaly semasa menghadiri sesi sidang media yang diadakan di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.
Haji Rozaly semasa mengongsikan mengenai pengemaskinian perkhidmatan-perkhidmatan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelmarin.

Di kesempatan ini, pihak JPD ingin merayu bagi semua pemohon untuk memberikan maklumat tepat yang diperlukan. Selain itu, semasa sidang media berkenaan, menyentuh mengenai pendaftaran kenderaan baharu, JPD telah melaksanakan pendaftaran bagi kenderaan baharu bersama pihak Persatuan Peniaga-peniaga Kenderaan Brunei (BATA) dan pengedar-pengedar kenderaan mengikut had kemampuan dan keupayaan serta SOP yang direbiu dari semasa ke semasa.

Penghantaran permohonan dibuat melalui lantikan seorang wakil daripada pihak BATA yang menghantar dan mengambil dokumen-dokumen daripada Ibu Pejabat JPD menggunakan drop-box pada tarikh dan waktu yang dipersetujui oleh kedua pihak. Sejak 13 September lalu, JPD telah menambah kapasiti pendaftaran kenderaan baharu daripada 70 buah kenderaan seminggu kepada 250 buah kenderaan dengan kerjasama pihak BATA dan pengedar kenderaan.

Beliau turut mengetengahkan me-ngenai Pendaftaran Kenderaan Terpakai dan Tukar Milik Kenderaan, yang mana JPD akan membuka semula pendaftaran kenderaan terpakai tempatan dan urusan milik kenderaan bermula 21 September 2021. Selain itu beliau turut menyentuh mengenai pendaftaran kenderaan terpakai lazimnya melibatkan urusan tukar milik. Pada peringkat pertama ini, permohonan adalah melalui ejen-ejen kenderaan terpakai tempatan sahaja dan diproses secara dalam talian serta mengikut kuota yang ditetapkan.

Permohonan adalah dengan tatacara menghantar gambar bahagian-bahagian badan kenderaan dan dokumen sokongan seperti pengesahan insurans atau surat daripada bank (jika ada).

Keperluan ini hendaklah dimasukkan ke drop box yang disediakan di Ibu Pejabat JPD oleh wakil ejen kenderaan terpakai tempatan. Sebarang pembayaran hendaklah dibuat secara dalam talian iaitu melalui aplikasi BIBD online payment. Manakala, pemeriksaan kelayakan tidak akan dikendalikan di JPD dan semua kenderaan adalah diperlukan untuk lulus pemeriksaan kelayakan di mana-mana stesen kenderaan (VIS) yang dilantik.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang JPD www.jpd.gov.bn atau instagram @jpdbrunei, atau email [email protected] atau talian tambahan 2451980/82/84.