Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan melaksanakan penetapan harga maksimum bermusim ke atas barangan keperluan makanan terpilih sepanjang bulan Ramadan dan Syawal 1443 Hijrah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, penetapan harga maksimum bermusim itu akan dilaksanakan secara sementara iaitu bagi tempoh dua bulan bermula 1 Ramadan hingga 30 Syawal 1443 Hijrah dan lapan kategori barangan makanan terpilih ditetapkan harga maksimum bagi musim perayaan 2022 iaitu ayam bulat, telur ayam, daging (isi daging biasa), mentega, marjerin, minyak sapi, tepung serta susu pekat, cair dan krim.
Kenyataan menyatakan bahawa senarai penuh barangan ditetapkan harga maksimum secara bermusim itu, dapat diakses melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau dimuat turun melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.
Dalam pada itu, para peniaga dinasihatkan untuk mengekalkan amalan persai-ngan sihat dalam perniagaan dengan menawarkan harga yang kompetitif di bawah harga maksimum yang ditetapkan.
Penetapan harga maksimum bermusim bertujuan untuk mengawal harga beberapa barangan makanan terpilih khususnya bahan-bahan asasi yang mempunyai permintaan tinggi semasa musim perayaan.
Inisiatif itu dihasratkan dapat membantu rakyat dan penduduk di negara ini dalam menampung perbelanjaan harian khususnya semasa musim perayaan sekali gus sebagai usaha pihak kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan makanan pada masa ini.
Ia juga merupakan usaha tambahan kepada penguatkuasaan kawalan harga beberapa barangan makanan asasi yang sedang dilaksanakan secara berterusan ke atas minyak masak, susu tepung anak damit, beras (wangi, siam dan pulut) serta gula.
Selaras dengan penguatkuasaan Perintah Akta Kawalan Harga (Pindaan), 2021 bermula 23 November 2021, sebarang ketidakpatuhan pihak peniaga ke atas penetapan harga maksimum bermusim boleh diambil tindakan menurut peruntukan di bawah Bab 10B, Akta Kawalan Harga, Penggal 142, iaitu kompaun tidak melebihi $1,000. Manakala, bagi kesalahan berikutnya, boleh membawa kepada denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun oleh mahkamah.
Kenyataan berkenaan menyatakan bahawa sebarang pertanyaan lanjut berhubung penetapan harga maksimum bermusim boleh dibuat melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi mudah alih PenggunaBijak.