JPES tinjau harga makanan laut

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi bersama Jabatan Perikanan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kelmarin telah membuat satu lawatan pemeriksaan bersepadu ke Pasar Gadong dan Tamu Kianggeh.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pemangku Ketua Pengarah JPES, Hajah Latifah binti Haji Mahmud.

Semasa lawatan pemeriksaan berkenaan, pihak JPES dan Jabatan Perikanan berpeluang untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada para peniaga pasar dan tamu mengenai situasi kini termasuk harga dan stok bekalan makanan laut yang terdapat di pasaran pada masa ini.

Hasil daripada pemeriksaan dan dialog bersama peniaga mendapati majoriti bekalan ikan di pasar adalah diimport dari negara jiran dan bekalan ikan tempatan pada masa ini berkurangan memandang-kan keadaan cuaca musim tengkujuh yang berisiko kepada para nelayan untuk turun ke laut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini hari ini, beberapa faktor yang mendorong kepada kenaikan harga adalah peningkatan kos daripada pembekal luar, kos operasi bagi pembekal tempatan dan tambahan kos perkhidmatan penghantaran berbanding sebelum penularan wabak COVID-19.

Terdapat pembeli yang kerap berkunjung ke pasar dan tamu berkenaan turut mengongsikan pemerhatian dan pemahaman mereka bahawa perbezaan harga adalah bergantung kepada kualiti, saiz dan sumber bekalan.

Melalui lawatan berkenaan, pihak JPES turut melaksanakan pemeriksaan danseterusnya berkesempatan menasihatkan para peniaga mengenai kepentingan paparan tanda harga yang terang dan jelas sebagaimana yang diperuntukkan melalui Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) bagi mempromosikan prinsip perniagaan yang telus dan seterusnya dapat memberikan maklumat harga yang lebih jelas kepada pembeli sebelum membuat keputusan dalam pembelian.

Pegawai JPES dan Jabatan Perikanan berpeluang mendapatkan maklumat langsung daripada peniaga semasa lawatan itu. – Gambar serahan JPES