Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Pasukan JPI-3 menumpaskan Pasukan Gabungan JSS / MKPK / Cluster X dalam bahagian lelaki, manakala dalam bahagian perempuan, Pasukan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) dan Sekolah Sukan pula menewaskan Pasukan Gabungan Chung Hwa/Swasta dalam Kejohanan Badminton Sempena Hari Guru 2017.
Pasukan JPI -3 bangkit selepas ketinggalan 1-0 kepada Pasukan Gabungan JSS / MKPK / Cluster X pada set pertama dan seterusnya menjuarai kejohanan itu, yang berlangsung di Sekolah Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Gandingan Regu pertama Roslan bin Haji Aspar dan Haji Azrul bin Nordin menewaskan duo JPI yang disertai oleh Osran dan Hasharinuddin dengan keputusan 21-16, 21-17. JPI kemudian bangkit pada perlawanan kedua melalui gandingan Othman Alikhan dan Hassan Din bin Haji Untong yang menewaskan gandingan Yusof dan Zailani dengan mata 21-17, 15-2, 21-19.
JPI meneruskan penguasaannya melalui gandingan Haji Fadhullah dan Ahmad Nabil yang berjaya menewaskan gandingan Hanapiah dan Haji Mazhairi dengan mata 21-12, 21-18 sebelum memastikan kemenangan mutlak dicatatkan oleh gandingan Ade Al-Faisal bin Haji Kasim dan Ahmad Al-Hadee bin Haji Sabtu yang menang tanpa berlawan.

Sementara itu dalam bahagian perempuan pula, Pasukan Gabungan JPKK dan Sekolah Sukan gah mengatasi Pasukan Gabungan Chung Hwa/Swasta 2-0 apabila gandingan Suzielawati binti Zainal dan Dhia Syuhada binti Abdul Rahman Amboi meraih mata pertama setelah menumpaskan gandingan Jenetta Mok Lei Jee dan Tey Yeu Shu 18-21, 21-13, 21-9.
Duo Hajah Maimunah binti Abdullah and Hajah Salina binti Haji Sabri pula menang ‘straight-set’ 21-14, 21-14 ke atas gandingan Ng Lim Di dan Ang Bee Hian untuk menyumbang mata kemenangan di pihak JPKK dan Sekolah Sukan.