Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Guru-guru besar selaku wakil sekolah-sekolah agama di keempat-empat daerah di bawah naungan Jabatan Pendidikan Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengagih-agihkan beras Sembada sumbangan Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin dan hari ini.
Seramai 780 orang anak yatim telah terpilih untuk menerima sumbangan beras berkenaan, yang terdiri daripada 19 orang anak yatim dari Daerah Temburong, 61 dari Kawasan Brunei 1, 125 orang dari kawasan Brunei IIA, 19 orang dari Unit Pendidikan Khas Ugama, 126 orang dari Daerah Belait, 101 orang dari Daerah Tutong, 148 orang dari kawasan Brunei III dan seramai 108 orang lagi dari kawasan Brunei IIB.
Sumbangan derma tersebut antara lain bertujuan untuk memenuhi keperluan dan bersama-sama meringankan bebanan anak-anak yatim dalam bulan Ramadan ini di samping sebagai salah tanggungjawab sosial pihak penyumbang.
Pemberian sumbangan itu merupakan aktiviti tahunan pihak pengurusan dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini, yang mana pada tahun ini ia telah membuat kelainan dengan memberikan beras tempatan berbanding mengadakan majlis berbuka puasa seperti tahun lalu.
