Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPKE adakan lawatan mengejut

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Empat buah syarikat telah didapati melakukan beberapa ke-salahan dalam lawatan mengejut yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna ke premis-premis perniagaan di persekitaran kawasan Kampung Sengkurong, Mata-Mata dan Kiulap di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan JPKE, salah sebuah syarikat perniagaan berkenaan telah dikeluarkan kompaun $700 bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga pada beberapa barangan makanan yang menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga).

    Manakala itu, sebuah syarikat telah dikeluarkan notis amaran bagi kesalahan yang serupa iaitu tidak mempamerkan tanda harga pada bunga segar dan surat amaran juga telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat perniagaan atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan makanan terpilih semasa musim perayaan termasuk telur ayam, susu pekat, mentega dan sapuan coklat hazelnut.

    Sebuah lagi syarikat perniagaan juga dikeluarkan notis amaran atas kesalahan menjual barangan yang diberi tawaran harga murah melebihi harga yang dimaklumkan kepada JPKE.

    Lawatan mengejut tersebut telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. Turut mengiringi ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Hajah Mariah binti Haji Yahya.

    Lawatan mengejut yang diketuai oleh Pengiran Hajah Siti Nirmala ke premis-premis perniagaan di persekitaran kawasan Kampung Sengkurong, Mata-Mata dan Kiulap.

    Kenyataan menjelaskan, lawatan mengejut berkenaan merupakan salah satu usaha bagi meliputi semua daerah di negara ini dengan objektif utama bagi memastikan harga barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, termasuk harga minyak masak dan susu tepung berformula, tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan beras tidak dijual melebihi harga subsidi yang ditetapkan.

    Ia juga dihasratkan untuk memastikan pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah) khususnya Jualan Aneka Brunei 2018 serta Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga).

    Lawatan turut berobjektif bagi memastikan harga barangan asasi makanan terpilih semasa musim perayaan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan termasuk daging ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung, susu pekat, cair dan krim, santan pekat, krim dan serbuk, sapuan coklat hazelnut, serbuk cili udang kering dan kulit popia.

    Di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, syarikat yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak $5,000 dan penjara dua tahun oleh mahkamah; atau denda sebanyak $20,000 dan penjara lima tahun bagi kesalahan berulang oleh mahkamah.

    Orang ramai digalakkan untuk mengakses aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer yang menyediakan platform perbandingan harga bagi barangan keperluan harian yang tertentu dan barangan di kawal harga, memperkenalkan undang-undang berkaitan dengan kepenggunaan. Ia juga menjadi saluran bagi para pengguna untuk mengongsikan maklum balas dan membuat aduan.

    Sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung terus dengan JPKE melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer atau melalui talian 2230223 (waktu pejabat), e-mel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn atau consumercomplaint@jpke.gov.bn atau pergi ke Pejabat JPKE di Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda