JPKE adakan lawatan mengejut

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Empat buat syarikat perniagaan di Daerah Tutong telah didapati melakukan beberapa kesalahan semasa lawatan mengejut Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, hari ini.

Menurut kenyataan JPKE, sebuah syarikat telah dikeluarkan kompaun sebanyak $700 bagi kesalahan kali ketiga iaitu tidak mempamerkan tanda harga ke atas beberapa barangan yang dijual. Premis yang sama juga dikeluarkan surat amaran bagi kesalahan menjual santan serbuk melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh JPKE semasa musim perayaan.

Manakala itu, sebuah syarikat perniagaan dikeluarkan kompaun $500 bagi kesalahan kali kedua iaitu menjual minyak masak dan susu tepung formula melebihi harga maksimum di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Premis tersebut juga dikeluarkan notis amaran di bawah Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga ke atas beberapa barangan makanan.

Dua buah syarikat yang lain pula dikeluarkan notis amaran bagi kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah) iaitu menawarkan barangan jualan murah yang tidak selaras dengan maklumat yang dihadapkan kepada JPKE.

Lawatan mengejut berkenaan telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. Turut mengiringi ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Hajah Mariah binti Haji Yahya.

Pemeriksaan turut dilakukan ke atas barangan yang ditetapkan harga semasa musim perayaan termasuk ayam bulat, telur ayam, mentega dan barangan makanan asasi terpilih.
Pengiran Hajah Siti Nirmala ketika mengetuai lawatan mengejut JPKE di salah sebuah syarikat di Daerah Tutong.

Kenyataan memberitahu bahawa lawatan mengejut berkenaan merupakan kesinambungan kepada lawatan-lawatan serupa yang meliputi semua daerah di negara ini dengan objektif utama bagi memastikan harga barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, termasuk harga minyak masak, susu tepung berformula, beras dan gula tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Juga termasuk dalam pemeriksaan tersebut adalah 13 kategori makanan yang dipilih semasa musim perayaan. Penetapan harga maksimum bagi 13 kategori makanan tersebut ditetapkan bermula dari 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1439 Hijrah.

Lawatan juga meliputi pemeriksaan ke atas kepatuhan terhadap peraturan-peraturan tanda harga dan jualan murah di bawah Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) dan Peraturan-peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah).

Semasa lawatan, pihak JPKE menasihatkan para peniaga agar mematuhi harga maksimum yang ditetapkan semasa musim perayaan serta mempamerkan dan meletakkan tanda harga dengan betul dan jelas. Selain itu, syarikat perniagaan juga ditekankan untuk tidak menggunakan strategi jualan promosi yang mengelirukan sepertimana yang telah didapati semasa lawatan mengejut berkenaan.

Dalam kesempatan ini, JPKE menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan konsep ‘Pengguna Bijak’ iaitu dengan membuat perbandingan harga di beberapa premis perniagaan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian bagi mendapatkan nilai harga yang terbaik.

Perbandingan harga bagi barangan keperluan daripada beberapa premis perniagaan boleh diakses melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer. Penyertaan syarikat perniagaan kepada inisiatif perbandingan harga ini adalah secara sukarela.

Aplikasi mudah alih tersebut juga menyediakan maklumat syarikat perniagaan yang mengadakan acara jualan murah, harga maksimum bagi barangan dikawal harga semasa musim perayaan dan barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga termasuk kenderaan bermotor penumpang. Juga terdapat dalam aplikasi tersebut adalah maklumat berkaitan dengan perundangan pengguna dan mekanisme maklum balas dan aduan pengguna.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung terus dengan JPKE melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau SmartConsumer, talian 2230223 (waktu pejabat), e-mel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn, consumercomplaint@jpke.gov.bn, Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau pergi terus ke Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.