JPKE: Jika ragu-ragu hubungi terus ‘PenggunaBijak’

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) menasihatkan orang ramai yang mempunyai keraguan atau pertanyaan supaya berhubung terus ke Bahagian Hal Ehwal Pengguna menggunakan aplikasi PenggunaBijak atau SmartConsumer, di mana pengguna boleh memuat naik gambar atau dokumen sokongan dengan mudah.

Selain daripada aplikasi mudah alih yang disediakan, orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pengguna melalui saluran aduan tertentu melalui talian 2230223 (waktu pejabat), e-mel kepada [email protected] atau [email protected], Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau pergi terus ke Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pengguna di Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.

JPKE dalam kenyataan hari ini, juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarluaskan isu-isu hal ehwal pengguna yang belum tentu kesahihan maklumat tersebut melalui media sosial secara viral.

Menurut kenyataan itu, sekiranya pengguna mempunyai aduan mereka dinasihatkan untuk terlebih dahulu menghubungi peniaga berserta dokumen-dokumen sokongan seperti resit, untuk menerangkan masalah yang dihadapi dan membuat perundingan bagi mencapai hasil yang memuaskan, yang mana kebanyakan isu boleh diselesaikan pada peringkat ini.

Dalam menangani aduan pengguna, ujar JPKE, Bahagian Hal Ehwal Pengguna akan membuat perundingan dengan peniaga bagi pihak pengguna. Jika perundingan tidak berhasil, Bahagian Hal Ehwal Pengguna akan mengadakan pengantaraan yang melibatkan pengguna dan peniaga di hadapan wakil bahagian sebagai perantara.

Jika aduan masih belum dapat diselesaikan, pengguna boleh membuat tuntutan remedi sivil di bawah Tribunal Tuntutan Kecil atau ke mahkamah.