BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya hari ini mengumumkan bahawa lapan kategori barangan keperluan makanan harian akan ditetapkan harga maksimum pada bulan Ramadan yang akan datang.
Inisiatif tahunan ini bertujuan untuk mengekalkan harga yang berpatutan bagi barangan makanan terpilih yang sering digunakan bagi penyediaan makanan semasa musim perayaan selama lima minggu bermula 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1440 Hijrah.
Barangan yang ditetapkan harga maksimum tersebut adalah ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi; susu pekat, cair dan krim; tepung; santan pekat, krim dan serbuk.
Senarai harga maksimum bagi barangan makanan berkenaan yang merangkumi jenama-jenama utama boleh didapati di laman sesawang JPKE dan aplikasi mudah alih PenggunaBijak. Usaha ini dilaksanakan dengan kolaborasi bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Dalam kenyataannya, JPKE mengingatkan bahawa harga yang ditetapkan adalah harga maksimum tetapi para peniaga adalah digalakkan untuk menawarkan harga yang kompetitif bagi menarik pelanggan.
JPKE turut menasihatkan para peniaga untuk tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan. Manakala, para pengguna pula diingatkan untuk berbelanja secara bijak dengan membuat perbandingan harga dan produk atau jenama yang sebanding di pasaran bagi mendapatkan nilai terbaik dalam membuat pembelian.
Sebarang pertanyaan boleh ditujukan kepada pihak JPKE melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih iaitu PenggunaBijak atau SmartConsumer, emel aduanpengguna@jpke.gov.bn, Facebook: AduanPenggunaJPKE atau telefon 2230223 semasa waktu pejabat.