Oleh Daniel Lim
BELAIT, 23 OGOS – Pasukan JPKK Suka-Suka berjaya bergelar juara selepas menewaskan lawannya IBTE A dalam Kejohanan Futsal bagi Guru-guru ke-16 yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong, 21 Ogos lalu.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokorikulum (JPKK) Daerah Belait sebagai salah satu aktiviti tahunan.
Selain itu, kejohanan itu diadakan untuk membantu membuat persediaan bagi pemain futsal yang mewakili daerah itu untuk bersaing di Kejohanan Futsal Kebangsaan bersempena dengan Hari Guru ke-32 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Sebanyak 11 buah pasukan yang terdiri daripada guru dari sekolah-sekolah Kluster 6 di Daerah Belait bersaing untuk merebut gelaran juara.
Dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu dengan pasukan IBTE B (SR Pythons), SMSA A, PAWA 22, SMPJNPHSB XL, JPI C dan Sume FT bersaing dalam kategori A, manakala BKT 2022, SMPAPHRSB, JPKK Suka-Suka, IBTE A (Gearbox Pacah) dan SMSA B bersaing dalam kategori B.
Hanya tiga pasukan teratas setiap kategori akan mara ke pusingan suku akhir.
Dalam pusingan suku akhir, IBTE A berjaya menjinakkan PAWA22 dengan keputusan 2-0, sementara JPKK Suka-Suka mengesahkan kemaraan selepas menundukkan SMSA A 3-2.
Dalam peringkat separuh akhir, IBTE A meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan JPI C 4-3, manakala JPKK Suka-suka menang bergaya 2-0 ke atas BKT 22.
Dalam pertembungan final, JPKK Suka-Suka mudah mendominasi lawan mereka, IBTE A dan mencatat kemenangan 4-0.
JPKK Suka-Suka berjaya membawa pulang trofi, pingat dan wang tunai atas kemenangan mereka, dan hadiah-hadiah disampaikan oleh mantan pegawai JPKK, Awang Josni bin Nyambong, selaku tetamu kehormat.
Sementara itu, Pemain Terbaik Kejohanan dimenangi oleh Awang Mazlani bin Haji Abdul Ghani dari IBTE A dan anugerah Fair Play dimenangi oleh pasukan IBTE B.