Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, mengadakan Riadah Berbasikal dan Berjalan Kaki sebagai pembuka tirai bagi Kejohanan Sukan JPM bagi 2020.
Hadir selaku tetamu kehormat semasa riadah di kawasan Bangunan JPM itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali serta setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Acara didahului dengan sesi pemanasan badan yang dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei sebelum tetamu kehormat melepaskan para peserta riadah berbasikal sejauh 10km diikuti dengan acara berjalan kaki sejauh 3km.
Matlamat utama riadah berkenaan adalah bagi menggerakkan warga JPM menjalani gaya hidup sihat dan rajin beriadah selain meningkatkan kesepaduan, keharmonian, persahabatan dan kesepakatan pegawai dan kakitangan.
Di samping itu juga, ia juga diharapkan menerajui dan memberikan contoh teladan kepimpinan kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain untuk membudayakan amalan hidup sihat dengan beriadah.
Kejohanan Sukan JPM pada tahun ini akan mempertandingkan enam acara sukan iaitu bola jaring tujuh orang sepasukan, pingpong, boling 10 pin, futsal dan badminton.






























