JPM bertadarus, berbuka puasa

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya terus menyemarakkan bulan Rama-dan dengan mengadakan majlis tadarus dan berbuka puasa di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Juga hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan di bawahnya serta penduduk sekitar.

Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan tadarus Al-Quran, Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Selamat sebelum berbuka puasa serta sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Majlis berkenaan adalah anjuran JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang dikelolakan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam di JPM, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan serta Institut Perkhidmatan Awam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili hadir ke majlis tersebut.