JPM perjelas perihal perkabungan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Sebagai tanda berdukacita dan bersimpati atas kedukaan kerabat diraja berikutan kemangkatan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, rakyat dan penduduk negara ini mula berkabung selama tujuh hari bermula 24 Oktober.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan ini memaklumkan bahawa pakaian semasa tempoh berkabung ini adalah seperti biasa. Berita-berita tular mengenai pemakaian lilitan putih di songkok, bertudung putih dan memakai tuaha (lilitan tangan putih) semasa tempoh berkabung ini adalah tidak benar dan tidak berasas.

Kenyataan dikeluarkan JPM di sini hari ini turut menekankan bahawa aktiviti-aktiviti sosial dan kekeluargaan seperti majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan seumpamanya; serta aktiviti kesukanan seperti senaman dan riadah termasuk hiking, adalah dibenarkan tanpa mengandungi ciri-ciri hiburan yang bercanggah dengan etika perkabungan.

Berita tular lilitan putih songkok, tudung putih dan tuaha semasa berkabung adalah tidak benar. – Gambar oleh Muiz Matdani