JPM semarak awal tahun Hijrah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah, bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM.

Acara berkenaan yang dikendalikan bersama oleh Biro Kawalan Narkotik dan Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, JPM, telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat.

Ianya turut dihadiri oleh pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bersama tetamu yang lain ketika menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, semalam. – Gambar oleh Danial Norjidi

Acara sambutan berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat, diikuti dengan bacaan zikir istighfar dan selawat beramai-ramai, disusuli dengan sesi ceramah yang bertajuk ‘Hijrah: Satu Kehebatan’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Majlis berkenaan merupakan acara tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang turut bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara kalangan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.