Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC buka CCU baru

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Setelah 15 tahun Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) memberikan perkhidmatan terbaik khususnya dalam penjagaan jantung di negara ini, pusat berkenaan hari ini telah merasmikan Unit Penjagaan Koronari (CCU) yang baru.

    Hadir merasmikan unit berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku pengerusi JPMC.

    Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr. Peter Tay sebelum perasmian menyatakan bahawa jumlah pesakit jantung yang dirawat di pusat berkenaan telah meningkat setiap tahun. Menurut beliau, pada tahun 2016, pusat berkenaan telah menjalankan lebih 1,000 angiograms, lebih 550 percutaneous intervention dan lebih daripada 150 pembedahan jantung terbuka.

    “Selama 15 tahun, Gleneagles JPMC telah bekerjasama dengan JPMC, rakan-rakan usaha sama kami dan Kementerian Kesihatan. Pakar-pakar kami sering mengadakan mesyuarat-mesyuarat klinikal untuk membincangkan pengurusan kes-kes jantung dalam tetapan jagaan bersama dan pakar-pakar dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha juga menghadiri sesi-sesi klinik secara berterusan dan melaksanakan prosedur jantung di Gleneagles JPMC,” ujar beliau.

    Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew berkata, beliau gembira melihat perkhidmatan jantung kelas dunia ditawarkan kepada masyarakat Brunei. Beliau menambah Gleneagles sekarang mempunyai 150 kakitangan dan majoritinya adalah rakyat tempatan. Beliau berharap pusat berkenaan akan membina kejayaan secara berterusan dan membesarkan lagi perkhidmatan mereka ke negara-negara jiran.

    Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew merasmikan CCU di Pusat Gleneagles JPMC, Jerudong, kelmarin.
    Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew merasmikan CCU di Pusat Gleneagles JPMC, Jerudong, kelmarin.
    Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai ketika membuat lawatan ke CCU yang baru.
    Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai ketika membuat lawatan ke CCU yang baru.
    Menurut Dr. Peter Tay, jumlah pesakit jantung yang dirawat di pusat Gleneagles JPMC telah meningkat.
    Menurut Dr. Peter Tay, jumlah pesakit jantung yang dirawat di pusat Gleneagles JPMC telah meningkat.

    Sejak ditubuhkan pada 15 Julai 2002, Glenagles JPMC bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam memberikan perkhidmatan peringkat tinggi kepada para pesakit di negara ini yang telah memberikan tugas penjagaan bersama dan memperbaiki masa tindak balas bagi kecemasan penyakit jantung.

    Selain itu, Gleneagles JPMC juga berada di barisan hadapan dalam teknologi dan inovatif perubatan bermula daripada pintasan koronari pertama dan pembedahan pintasan arteri koronari dijalankan pada tahun 2003 kepada pembedahan implan ‘Left Ventricular Assist Device’ (VLAD) pada pesakit yang mempunyai masalah kegagalan jantung pada tahun 2014 dan implan transcatheter aortic valve (TAVI) pada tahun 2016.

    Pengembangan kapasiti wad itu juga sebagai inisiatif dalam usaha berterusan Gleneagles JPMC untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan jantung standard tinggi dan menjadi pusat kecemerlangan penyakit kardiovaskular di negara ini. Kemudahan baru dengan lapan buah katil itu akan membolehkan Gleneagles JPMC untuk mengembangkan kapasitinya, pengurusan pesakit yang lebih baik dan menyelaraskan perkhidmatannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda