JPMC serah cek, hadiah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Susulan acara hari terbukanya pada Mei lalu, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah dan penyampaian cek kepada Persatuan Sindrom Down (ABLE) Brunei di JPMC, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan cek kepada ABLE Brunei ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar selaku pengarah eksekutif JPMC.

Majlis telah dimulakan dengan tayangan video pendek yang memaparkan siri-siri acara sepanjang Mei seperti ‘Spinning for Charity’, Hari Terbuka JPMC di mana dana sumbangan untuk ABLE Brunei telah dikutip daripada permainan dan aktiviti, pelbagai vendor, gerai makanan dan kotak sumbangan.

Selepas tayangan video, acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang cabutan bertuah yang telah disempurnakan oleh Pengarah Jururawat JPMC, Chung Yea Fui.

Hadiah-hadiah yang disampaikan termasuk pakej pemeriksaan kesihatan di JPMC, keahlian untuk Pusat Kecergasan JPMC dan baucar makanan.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham menyerahkan cek kepada wakil ABLE Brunei.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bergambar ramai bersama wakil-wakil syarikat yang menerima sijil penghargaan dan wakil dari ABLE Brunei.

Peserta cabutan bertuah juga memenangi hadiah dari Standard Chartered, Microsoft (B) Sdn Bhd dan barangan dari JPMC.

Kemudian acara diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat yang menyokong siri-siri acara JPMC tersebut dan para vendor yang telah menyertai Hari Terbuka JPMC yang telah diadakan pada 11 Mei lepas. Penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Yang Berhormat Dato kemudiannya menyerahkan cek bernilai $4,365 kepada ABLE Brunei di penghujung acara.

JPMC berharap sumbangan yang dikutip dapat menyokong ABLE Brunei bagi program-program mereka untuk mengajar, mendidik dan memberi penjagaan kepada kanak-kanak Sindrom Down.