Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan JPMC
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Brunei bakal menyaksikan kewujudan kolej sains kesihatan swasta pertama yang akan ditubuhkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC), syarikat dimiliki penuh oleh Darussalam Assets Sdn Bhd (DA), dengan kerjasama Far Eastern University (FEU), Republik Filipina.
Sehubungan itu, majlis penandatanganan perjanjian usaha sama antara JPMC dan FEU telah berlangsung hari ini, di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Menandatangani perjanjian bagi pihak JPMC ialah Menteri Kesihatan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat JPMC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Kolej Sains Kesihatan JPMC diwakili oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Ke-dua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; manakala FEU diwakili oleh Presiden dan Lembaga Pengarah, Dr Michael M Alba.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham antara lain menyatakan bahawa dengan penubuhan kolej tersebut, Negara Brunei Darussalam akan dapat melahirkan warga profesional dalam penjagaan kesihatan yang berkaliber tinggi dan pada masa yang sama menyokong keperluan meningkat di dalam mahupun luar negara.
Tambah beliau, dengan impak COVID-19, keperluan kepakaran dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan telah meningkat.
Dr Alba dalam ucapannya pula mengongsikan bahawa di FEU, mereka melaksanakan kurikulum program kejururawatan yang berdasarkan tiga rangka kerja, iaitu kecekapan, komuniti dan bukti, yang mana ia sebagai bidang tumpuan teras latihan jururawat.
Hal berkenaan secara tidak langsung sebagai pemacu dalam menjadikan Institut Sains Kesihatan dan Kejururawatan FEU mampu menghasilkan graduan bertaraf dunia yang dipacu dengan nilai-nilai pemikiran kritis, kemahiran tek-nologi, berorientasikan penyelidikan dan mempunyai jiwa kepimpinan dan komitmen terhadap profesion kejururawatan bercirikan human care yang selamat dan berkualiti.
Dengan adanya kerjasama berkenaan, beliau turut berhasrat untuk membawa reputasi berkenaan kepada kolej baharu itu dengan menghasilkan pemimpin-pemimpin yang mempromosikan dan mempraktikkan kecemerlangan dalam pendidikan sains kesihatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penjagaan yang penuh belas kasihan sehingga melahirkan golongan pelajar sepanjang hayat.
Di samping itu, beliau berharap untuk membangunkan kolej sains kesihatan baharu berkenaan sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan kejururawatan di Asia Tenggara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R Tirol-Ignacio dan bekas Setiausaha Kewangan Republik Filipina, Carlos Garcia Dominguez.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPMC, perjanjian tersebut melambangkan permulaan usaha sama kedua-dua belah pihak bagi penubuhan, pengurusan dan pengendalian Kolej Sains Kesihatan JPMC.
Kolej tersebut diharapkan dapat melahirkan warga tempatan yang berkemahiran tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan bagi mencukupi keperluan negara dan untuk mengukuhkan lagi ekosistem penjagaan kesihatan.
Kolej Sains Kesihatan JPMC akan terletak di Jalan Ong Sum Ping di ibu negara dan bakal menawarkan Sijil Asas Sains dan Sarjana Sains Muda Asas Kejururawatan dengan Kursus Sijil Asas Sains akan bermula pada Oktober depan.
Kolej tersebut telah diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan dan telah menerima sokongan daripada Lembaga Jururawat Brunei.