Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    JPN digitalkan 150 juta rekod fizikal

    PUTRAJAYA, 9 JAN – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang melakukan proses menyimpan 150 juta rekod fizikal yang disimpan sejak 1869 ke bentuk digital bagi tujuan keselamatan dan pemuliharaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata meskipun kebanyakan rekod daftar kelahiran dan kematian yang dimiliki jabatan itu hanya mengandungi maklumat asas seperti nama ayah dan ibu, nama anak, alamat dan pekerjaan, ia juga merupakan khazanah maklumat penduduk negara yang harus dipulihara.

    “Ini merupakan sebahagian daripada rancangan masa hadapan kita supaya khazanah ini dapat disimpan dengan selamat dan sesuai dengan peredaran teknologi semasa bagi tujuan pendigitalan rekod jabatan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di JPN di sini, hari ini.

    Selain menghargai maklumat yang dimiliki, Saifuddin Nasution berkata penyimpanan rekod secara elektronik itu juga dapat menjadi rujukan dan memudahkan pencarian pada masa hadapan sekiranya diperlukan.

    Menurutnya, setakat ini kira-kira 30,000 rekod telah disimpan secara digital dan proses penyimpanan akan terus dilaksanakan oleh jabatan berkenaan sehingga selesai.

    Semasa lawatan itu, beliau diberi taklimat tentang operasi menyeluruh JPN selain turut menyampaikan surat kelulusan permohonan kewarganegaraan kepada 28 permohonan yang berjaya.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – Bernama

    Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...