JTK Sarawak lancar operasi

KUCHING, 9 Ogos – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak hari ini melancarkan operasi serentak di seluruh negeri ke atas premis-premis makanan berhubung pematuhan Ordinan Buruh Sarawak Bab 76.

Operasi membabitkan 99 pegawai penguat kuasa di kesemua 17 pejabat JTK diketuai  Ketua Bahagian Standard Perburuhan JTK Sarawak Jamillah Putit.

Jamillah ketika ditemui semasa operasi di sebuah premis makanan di Bandar Baharu Batu Kawah (MJC) di sini, berkata pemeriksaan bertujuan memastikan majikan menunaikan hak-hak pekerja seperti pematuhan kadar gaji minimum, cuti sakit, bayaran kerja lebih masa dan juga bagi mengesan sama ada pekerja bawah umur dan warga asing digaji.

“Jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang pihak Jabatan Tenaga Kerja Sarawak akan mengeluarkan surat notifikasi untuk meminta pihak majikan melakukan pematuhan undang-undang yang ditetapkan.

“Selain daripada itu, terdapat juga kes di mana pihak kami terus membuka surat siasatan untuk tujuan kompaun dan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan seperti itu merupakan rutin pihak JTK namun sebelum ini ia tidak diuar-uarkan di dalam media.

Jamillah berkata sejak awal tahun ini pihaknya telah membuat sebanyak 4,699 pemeriksaan berkanun ke atas syarikat-syarikat di seluruh negeri ini.

Di samping itu, katanya pihaknya turut membuat sebanyak 4,378 pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat di seluruh negeri berhubung Perintah Pematuhan Gaji Minimum 2016.

Beliau berkata minggu lepas pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas premis hiburan di seluruh negeri ini dan telah membuka 94 kertas siasatan bagi tujuan kompaun dan pendakwaan. – Bernama