Jual RM1.80 kena kompaun RM20,000

LANGKAWI, 7 JUN – Seorang peniaga dikompaun RM20,000 selepas didapati menjual penutup mulut dan hidung pada harga RM1.80 sekeping, melebihi  harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata kesalahan itu dikesan menerusi Pemeriksaan Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Peniaga tersebut didapati menawarkan untuk menjual sejumlah 2,859 keping pelitup separuh muka tiga lapis melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan menyita keseluruhan 2,859 keping penutup mulut dan hidung tiga lapis tersebut dan peniaga diberikan masa 14 hari untuk membayar kompaun minimum sebanyak RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama