Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 14 Jun – Jualan Amal Menjelang Hari Raya ke-32 Tahun 2017 yang sedang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Belait, mendapat sambutan ramai sejak dirasmikan baru-baru ini.
Jualan amal yang merupakan projek tahunan Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Belait itu, seperti lazimnya mengetengahkan jualan berbagai-bagai jenis biskut, kek dan kuih-muih Hari Raya, selain pakaian baru dan terpakai serta sebagainya.
Pengerusi Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji, hari ini, memberitahu bahawa jualan amal itu adalah salah satu projek berkebajikan persatuan mereka yang bertujuan untuk menyumbang kepada Tabung Anak-anak Yatim dan Tabung Kebajikan Daerah Belait.
Menurutnya, sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung-tabung berkenaan dan kutipan peratus dilakukan oleh ahli jawatankuasa yang telah diamanahkan pada setiap malam selepas selesai jualan.
Beliau juga memberitahu, hasil terkumpul daripada jualan pada tahun lalu adalah kira-kira $50,000 dan ia sedikit sebanyak telah memberikan peluang kepada kalangan ahli-ahli persatuan untuk berniaga secara kecil-kecilan dan bermusim bagi membantu mendapatkan pendapatan sampingan dalam membantu keluarga dan dalam masa yang sama melakukan amalan berkebajikan.
Pelancaran acara berkenaan, baru-baru ini, telah disempurnakan oleh isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Salleh selaku tetamu kehormat. Hadir sama ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, para penghulu dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di sini.